BERITA SEMASA

KPKT berjaya pulihkan 1,333 projek perumahan terbengkalai

KUALA LUMPUR – Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) berjaya memulihkan
1,333 projek perumahan swasta yang lewat, sakit dan terbengkalai melibatkan 159,638 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar RM126.47 bilion setakat 31 Oktober lalu.

Menurut Timbalan Menterinya, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, langkah tersebut diambil bagi melindungi pembeli daripada kerugian akibat kelewatan projek dan mengembalikan keyakinan terhadap sektor perumahan swasta.

“KPKT mengambil tindakan tegas termasuk pendakwaan, kompaun dan menyenarai hitam pemaju yang gagal mematuhi peraturan di bawah Akta 118,” katanya pada sesi jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Aminolhuda Hassan (Sri Gading) berhubung tindakan kerajaan menangani projek terbengkalai yang memberikan kesan kepada pembeli rumah pertama, dan faktor yang menyebabkan rakyat masih sukar memperoleh rumah mampu milik (RMM).

Aiman Athirah menegaskan, pemaju yang disenaraihitamkan tidak dibenarkan memohon lesen pemajuan atau permit iklan dan jualan projek baharu, manakala senarai projek bermasalah turut dipaparkan melalui portal KPKT sebagai rujukan pembeli.

Beliau berkata Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118] kini dalam proses penambahbaikan untuk memastikan pengurusan kewangan pemaju lebih berdisiplin dan mengurangkan risiko projek terbengkalai pada masa hadapan.

Mengulas mengenai RMM, Aiman Athirah berkata, kesukaran rakyat mendapat pembiayaan perumahan berpunca daripada rekod kredit lemah, kadar hutang isi rumah tinggi serta pendapatan tidak stabil atau tiada slip gaji rasmi.

Bagi meningkatkan akses golongan B40 dan M40 kepada RMM, beliau berkata kerajaan menerusi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) menyediakan jaminan pembiayaan hingga RM500,000 untuk pembelian rumah pertama.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button