PM mahu ciri dan budaya tempatan dikekalkan dalam pembangunan negara
KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyarankan agar ciri-ciri dan budaya tempatan diterapkan dalam seni bina dan reka bentuk pembangunan negara.
Perdana Menteri berkata, adalah memalukan sekiranya perkara itu tidak diterapkan lebih-lebih lagi Malaysia mempunyai masyarakat berbilang kaum dan budaya.
“Apa yang kita tonjolkan bukan sahaja hutan konkrit, ia mesti ada watak dan semangat budaya. Dalam konteks Malaysia di sini terdapat pelbagai kaum dan bangsa dan adalah malang jika kita tidak aplikasi elemen tersebut dalam pembinaan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pembukaan Meja Bulat Menteri ASEAN-China mengenai Pembinaan dan Perumahan 2024 (ACMROCH 2024) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Hadir sama, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming.

Turut diadakan Pameran Bangunan dan Rekaan Dalaman 2024 Malaysia ke-23 (ARCHIDEX 2024) bermula hari ini sehingga 6 Julai melibatkan 700 pempamer tempatan dan antarabangsa merentasi lebih 1,500 reruai pameran, serta 40,000 pelawat dari lebih 100 negara.
ARCHIDEX menawarkan pelbagai tema pameran yang disesuaikan dengan keperluan industri, termasuk teknologi audiovisual dan pencahayaan, Pemodelan Maklumat Bangunan (BIM) dan Sistem Binaan Berindustri (IBS).
Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri berkata, ASEAN sedang giat berusaha mempromosikan rantau ini sebagai rantau yang cemerlang dari segi ekonomi dan budaya.
Justeru itu, kata Anwar, pemaju dan arkitek tempatan serta penggubal dasar juga perlu memastikan pembangunan yang dilaksanakan mengambil kira keperluan semua sektor.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








