BERITA SEMASAPMX

Peralihan tenaga bersih semakin mendesak, ASEAN Power Grid perlu diperkasa – PM

KUALA LUMPUR – Malaysia komited mempercepatkan agenda peralihan tenaga dan memperkukuh kerjasama serantau menerusi inisiatif ASEAN Power Grid bagi memastikan bekalan tenaga yang lebih mampan, cekap dan terjamin untuk negara-negara ASEAN.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, usaha itu penting ketika dunia berdepan pelbagai cabaran termasuk ketidaktentuan geopolitik, krisis tenaga global serta peningkatan permintaan tenaga susulan perkembangan pesat teknologi dan ekonomi digital.

Menurut beliau, masa depan sektor tenaga global memerlukan anjakan pemikiran serta keberanian untuk meneroka penyelesaian baharu, termasuk mempercepatkan peralihan kepada sumber tenaga boleh baharu yang lebih bersih dan berdaya tahan.

Anwar Ibrahim semasa Majlis peluncuran Persidangan Energy Transition Conference 2026 (ETCon26)
di Kuala Lumpur. FOTO: Pejabat Perdana Menteri.

“Dunia tidak lagi boleh bergantung sepenuhnya kepada bahan api fosil. Krisis yang berlarutan di Timur Tengah menunjukkan keperluan mendesak untuk membangunkan sistem tenaga yang lebih stabil dan mampan,” katanya dalam kenyataan di Facebooknya hari ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan Energy Transition Conference (ETCon) 2026, sebuah platform yang menghimpunkan pemain industri tenaga dari dalam dan luar negara bagi bertukar pandangan, berkongsi kepakaran serta meneroka pendekatan strategik untuk memperkukuh pembangunan sektor tenaga.

Anwar berkata, pada masa sama, kemajuan teknologi dan globalisasi turut meningkatkan keperluan terhadap bekalan tenaga yang stabil dan mencukupi bagi menyokong pertumbuhan ekonomi.

Katanya, kepesatan pembangunan pusat data yang menjadi tulang belakang kepada kemajuan kecerdasan buatan (AI), ekonomi digital dan industri semikonduktor menjadikan agenda peralihan tenaga semakin kritikal dan strategik.

Sehubungan itu, beliau menegaskan sokongan Malaysia terhadap pelaksanaan ASEAN Power Grid yang dilihat mampu memperkukuh pembangunan dan perkongsian sumber tenaga secara lebih bersepadu dalam kalangan negara anggota ASEAN.

“Ini akan memastikan manfaat bersama dapat dinikmati melalui sistem tenaga yang lebih cekap, berdaya tahan dan terjamin untuk rantau ini,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button