KPT benarkan IPT laksana PdP dalam talian sempena Sidang Kemuncak ASEAN
PUTRAJAYA – Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) membenarkan Institusi Pendidikan Tinggi (IPT) Awam dan Swasta melaksanakan sesi Pengajaran dan Pembelajaran (PdP) secara dalam talian sepanjang berlangsungnya Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 pada 26 hingga 28 Oktober ini.
KPT memaklumkan, langkah itu diambil berikutan penutupan beberapa laluan utama serta pelaksanaan kawalan keselamatan di sekitar Lembah Klang, termasuk Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya sepanjang sidang kemuncak berkenaan.
Menurut kementerian itu, kemudahan berkenaan diberikan bagi memastikan proses PdP berjalan lancar serta tidak menjejaskan kebajikan pelajar dan warga IPT yang mungkin terkesan dengan penutupan jalan.
“Selaras dengan nilai teras Malaysia MADANI yang menekankan kesejahteraan rakyat, KPT memberi fleksibiliti kepada IPT untuk menentukan sama ada PdP dijalankan secara fizikal atau dalam talian berdasarkan situasi masing-masing,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KPT turut menasihatkan semua IPT untuk membuat semakan lokasi, masa dan tarikh penutupan jalan sepanjang tempoh 26 hingga 28 Oktober ini bagi merancang pelaksanaan PdP dengan lebih teratur.
“Pelajar dan warga IPT yang terjejas disaran menghubungi institusi masing-masing bagi mendapatkan maklumat lanjut serta panduan berkaitan pelaksanaan PdP sepanjang tempoh tersebut,” kata kenyataan itu lagi.
KPT turut berkata, langkah berkenaan diambil bagi memastikan kelancaran aktiviti akademik selain menjaga kesejahteraan warga IPT sepanjang penganjuran Sidang Kemuncak ASEAN Ke-47 di ibu negara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








