Kerangka MQF 2.0 ditambah baik, berkuat kuasa Ogos 2026 – Zambry
KUALA LUMPUR – Kerangka Kelayakan Malaysia Edisi Kedua (MQF 2.0) yang telah melalui proses penambahbaikan secara menyeluruh akan dikuatkuasakan sepenuhnya bermula 1 Ogos tahun depan.
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, MQF 2.0 merupakan kerangka bersepadu yang meliputi semua kelayakan dalam sektor akademik dan Pendidikan serta Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Menurut beliau, penambahbaikan itu memberi penekanan terhadap hasil pembelajaran, sistem kredit yang lebih jelas serta penerapan nilai kelestarian dan kompetensi negara dalam usaha melahirkan graduan yang holistik dan bertanggungjawab.
“Selama bertahun-tahun, Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) telah memainkan peranan penting dalam memperkukuh kredibiliti pendidikan tinggi negara melalui proses jaminan kualiti yang ketat dan komited.
“MQA bukan sahaja berjaya meningkatkan keyakinan terhadap kelayakan dalam negara, malah menjadikan Malaysia sebagai nama yang dihormati di peringkat antarabangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah MQA 2025 yang turut dihadiri Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Profesor Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran di sini malam tadi.
Baca juga : TVET setaraf akademik: Kerajaan pinda Akta 652, lonjak kualiti pendidikan kemahiran
Sementara itu, Ahmad Zahid dalam ucapannya memaklumkan bahawa MQA akan memperkenalkan garis panduan artikulasi antara program TVET dan program akademik bukan TVET bagi membuka laluan lebih luas kepada graduan TVET melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.
Jelas beliau, inisiatif tersebut akan membolehkan graduan TVET menyambung pengajian sehingga ke peringkat Sarjana dan Kedoktoran tanpa sebarang kekangan struktur.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, kerajaan juga sedang meminda Akta 652 bagi mengiktiraf tahap kepakaran tinggi dalam pendidikan TVET, sekali gus menyediakan laluan kemajuan yang setara dengan bidang akademik.
“Langkah ini merupakan satu lonjakan bersejarah yang bakal mengangkat martabat TVET ke tahap kecemerlangan baharu.
“Dengan 1,398 institusi, puluhan ribu tenaga pengajar serta ratusan ribu pelajar aktif, ekosistem TVET negara kini bukan lagi sekadar pelengkap dasar, malah menjadi nadi utama pembangunan negara,” ujarnya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








