BERITA SEMASADALAM NEGERIINISIATIF KERAJAAN

TVET setaraf akademik: Kerajaan pinda Akta 652, lonjak kualiti pendidikan kemahiran

KUALA LUMPUR – Kerajaan kini dalam proses meminda Akta Pembangunan Kemahiran Kebangsaan (Akta 652) bagi meningkatkan kualiti pendidikan kemahiran ke tahap kepakaran tinggi, setara dengan laluan dalam bidang akademik.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, usaha ini merupakan satu lonjakan bersejarah, yang dijangka memberi nafas baharu kepada pembangunan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) ke tahap kecemerlangan baharu.

“Persepsi bahawa TVET merupakan laluan pendidikan terakhir telah berubah sepenuhnya. Hari ini, bidang ini menerima sambutan luar biasa daripada masyarakat, terutamanya dalam kalangan ibu bapa dan pelajar.

“Sebagai contoh, pada tahun pertama selepas pelancaran UP_TVET, sebanyak 90,000 permohonan diterima dan jumlah itu meningkat dan pada tahun ini, sebanyak 229,000 permohonan telah diterima.

“Ini bukti jelas bahawa rakyat semakin yakin terhadap potensi cerah TVET sebagai laluan pendidikan masa depan yang menjanjikan gaji premium dan kerjaya menjamin masa depan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah MQA 2025 yang turut dihadiri
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan Timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud, serta Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran di sini malam tadi.

Baca juga : TPM Zahid mahu MQA lakukan anjakan besar, jadi pemangkin kebolehpasaran graduan Malaysia

Bagi aspek kawal selia oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Ahmad Zahid yang juga Pengerusi Majlis TVET Negara berkata, buat pertama kalinya Malaysia memperkenalkan TVET Aras Tinggi, iaitu laluan pengajian TVET di peringkat Sarjana (Masters) dan Doktor Falsafah (PhD).

Beliau berkata, MQA telah meluluskan dua program penting: Masters of Professional Practice dan Doktor of Professional Practice, masing-masing diletakkan di bawah SKM Aras 7 dan 8 dalam Kerangka Kelayakan Malaysia (MQF).

“Ini membuktikan bahawa MQA mengamalkan pendekatan yang sangat kontemporari dari segi pemikiran, tindakan dan pelaksanaan,” katanya.

Mengulas lanjut, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, MQA turut memperkenalkan garis panduan artikulasi antara program TVET dan program akademik bukan TVET.

“Ini membolehkan graduan TVET melanjutkan pelajaran ke peringkat akademik tertinggi tanpa halangan struktur yang pernah wujud sebelum ini.

“Perubahan ini menunjukkan komitmen untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi, bertaraf dunia, dan pada masa sama, memastikan laluan TVET setara dan mengikut piawaian bidang akademik lain tanpa menjejaskan kualiti dan kelayakan akademik,” katanya.

Ahmad Zahid menambah, melalui penyelarasan 12 kementerian yang terbabit, kini terdapat sebanyak 1,398 institusi TVET di seluruh negara, sekali gus mengatasi ketidaksepadanan dan kekeliruan yang mengakibatkan sistem TVET bergerak tanpa arah yang selaras sebelum ini.

“Saya bersama rakan-rakan dalam Majlis TVET komited untuk menyelaraskan dan menyusun semula sistem ini dengan melibatkan puluhan ribu tenaga pengajar dan ratusan ribu pelajar aktif di bawah ekosistem TVET nasional,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button