BERITA SEMASADALAM NEGERI

TPM Zahid mahu MQA lakukan anjakan besar, jadi pemangkin kebolehpasaran graduan Malaysia

KUALA LUMPUR – Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) disaran melakukan anjakan besar dalam peranannya agar mampu menjadi pemangkin kepada kebolehpasaran graduan Malaysia di peringkat global.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, MQA tidak seharusnya sekadar berfungsi sebagai titik rujukan standard kelayakan kebangsaan semata-mata.

“Saya, bagi pihak kerajaan, mahu MQA melakukan anjakan besar. MQA mesti menjadi pemacu inovasi, penjana bakat dan pembina modal insan yang berdaya tahan.

“Saya mahu nama MQA disebut dengan penuh hormat di arena pendidikan tinggi dunia serta menjadi pemangkin kebolehpasaran graduan Malaysia di seluruh dunia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Anugerah MQA 2025 yang turut dihadiri
Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, dan Timbalannya, Datuk Mustapha Sakmud, serta Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Prof Datuk Dr Mohammad Shatar Sabran di sini malam tadi.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, MQA sewajarnya memainkan peranan penting dalam mendepani ledakan Revolusi Industri Keempat (IR 4.0) serta kemajuan teknologi termasuk Kecerdasan Buatan (AI), Internet Kebendaan (IoT), robotik.

Menurutnya, arus perubahan itu menuntut anjakan paradigma yang berani daripada semua pihak termasuk MQA bagi memastikan sistem jaminan kualiti kekal relevan serta sentiasa berada selangkah ke hadapan.

“Perkembangan semasa menuntut tindak balas pantas dan strategik daripada semua pihak serta institusi pendidikan.

“Kurikulum perlu sentiasa relevan, penyelidikan mesti berimpak tinggi, dan graduan perlu dilengkapkan dengan kemahiran masa depan – sama ada dalam aliran akademik mahupun laluan lain termasuk Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET),” katanya.

Tambah beliau, graduan masa kini perlu menguasai kemahiran seperti pemikiran komputasional, literasi data, analisis praktikal, penyelesaian masalah kompleks serta kecekapan insaniah yang tidak dapat digantikan oleh sebarang teknologi.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button