TPM Zahid sasar UCAM jadi peneraju TVET pertanian
KUALA LUMPUR – Kolej Universiti Agrosains Malaysia (UCAM), institusi milik penuh Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) disasar menjadi peneraju utama dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi bidang pertanian.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, peranan UCAM bukan sahaja penting di peringkat nasional, malah turut berpotensi besar untuk diterajui hingga ke peringkat serantau.
“UCAM tidak hanya menyediakan laluan TVET dalam pertanian moden, tetapi turut menawarkan kursus dalam perniagaan, pengurusan ladang, teknologi makanan dan pensijilan halal.
“Justeru, UCAM mesti ada ‘game-changer’. Biarlah UCAM menjadi peneraju utama dalam TVET Pertanian bukan hanya di Malaysia, tetapi di rantau ini.
“Saya mahu lihat anak-anak pekebun kecil ini menjadi pelopor dalam pertanian pintar, agroteknologi dan pemodenan desa,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 yang berlangsung di ibu negara, hari ini.
Baca juga : BMT: Kerajaan peruntuk lebih RM260 juta, beri manfaat kepada 300,000 pekebun kecil
Mengulas perkembangan TVET di peringkat nasional, Zahid menegaskan bahawa laluan pendidikan tersebut kini semakin menjadi pilihan utama anak muda, termasuk dari desa.
“Dahulu, TVET mungkin dianggap laluan kedua. Namun hari ini, ia sudah menjadi landasan masa depan yang praktikal, strategik dan penuh peluang,” ujarnya.
Menurut beliau, sejak pelancaran platform UP_TVET pada tahun 2023, sambutan yang diterima amat menggalakkan apabila sebanyak 90,558 penempatan ditawarkan, namun apabila permohonan ditutup pada 2024, lebih 200,000 permohonan diterima.
“Pada saya, ini bukan sahaja luar biasa, tetapi bukti bahawa TVET sedang menjadi gelombang perubahan yang sebenar,” katanya.
Tambah beliau, kadar kebolehpasaran graduan TVET yang kini mencecah 95.1 peratus membuktikan permintaan tinggi industri terhadap kemahiran teknikal.
“Kenapa boleh kekal tinggi? Kerana industri sedang dahagakan kemahiran teknikal,” katanya.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut memaklumkan banyak syarikat kini bekerjasama dengan institusi TVET untuk membuka laluan kepada pelatih diserap masuk ke alam pekerjaan.
“Banyak syarikat kini bekerjasama dengan institusi TVET membuka laluan kepada pelatih untuk terus diserap masuk ke alam pekerjaan, malah ke program ‘apprenticeship’ yang berbayar sejak di bangku latihan lagi,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








