BMT terus dilaksana, lebih RM260 juta beri manfaat 330,000 pekebun kecil – TPM Zahid
KUALA LUMPUR – Sebagai tanda keprihatinan terhadap nasib pekebun kecil di seluruh negara yang terkesan akibat ketidaktentuan cuaca dan turun naik harga komoditi, kerajaan memutuskan untuk meneruskan Bantuan Musim Tengkujuh (BMT) pada tahun ini.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pembangunan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, lebih RM260 juta telah diperuntukkan bagi program BMT tahun ini.
Menurut Ahmad Zahid, bantuan tersebut melibatkan pekebun kecil dan penoreh getah di bawah selian Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA), FELDA dan Lembaga Industri Getah Sabah (LIGS) yang terdiri daripada lebih 330,000 penerima.
“Jumlah yang besar ini adalah cerminan betapa pentingnya peranan pekebun kecil dalam ekosistem pembangunan negara,” katanya ketika berucap dalam Majlis Apresiasi Tuisyen Rakyat RISDA 2024 di ibu negara, hari ini.
Beliau menegaskan, bantuan ini bukan hanya merupakan pelaburan untuk menyokong sektor komoditi, malah ia adalah satu bentuk penghormatan terhadap usaha dan keringat pekebun kecil yang memainkan peranan penting dalam menjana pertumbuhan ekonomi negara.
Baca juga : TPM Zahid setuju Risda jadi pembeli tunggal hasil getah pekebun kecil
Mengulas mengenai peranan RISDA, Ahmad Zahid berkata, agensi itu kini tidak lagi boleh dilihat sekadar sebagai pengurus hasil komoditi, sebaliknya perlu dilihat sebagai pemangkin transformasi luar bandar.
“RISDA hari ini adalah lebih daripada itu. Ia adalah nadi transformasi desa, penggerak mobiliti sosial luar bandar dan benteng harapan untuk pekebun kecil agar tidak terus terpinggir dalam arus pembangunan negara,” katanya.
Beliau menambah, RISDA perlu tampil sebagai jambatan strategik yang bukan sahaja menyampaikan bantuan semata-mata, tetapi turut membawa ilmu, peluang dan kemajuan kepada masyarakat luar bandar.
Katanya lagi, dalam dunia yang semakin mencabar dengan harga komoditi yang tidak menentu serta perubahan cuaca yang sukar dijangka, dasar-dasar pembangunan perlu bersandarkan realiti semasa bagi memastikan kebajikan pekebun kecil terus terpelihara.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















