BERITA SEMASAPOLITIK

PRN Johor: BERSAMA gagal capai sasaran, semua calon hilang deposit 

PUTRAJAYA – Parti Bersama Malaysia (BERSAMA) mengakui gagal mencapai sasaran pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026 apabila kesemua 15 calonnya hilang deposit selepas hanya memperoleh antara tiga hingga enam peratus undi secara purata.

Pengasas bersama parti itu, Datuk Seri Rafizi Ramli berkata, berdasarkan analisis awal daripada Borang 14 yang diterima Bilik Kempen BERSAMA serta keputusan tidak rasmi yang dilaporkan media, semua calon parti itu tidak berjaya mencapai ambang minimum 12.5 peratus undi yang diperlukan untuk mengekalkan deposit.

Menurut beliau, keputusan itu juga bermakna sasaran parti untuk sekurang-kurangnya tidak kehilangan deposit dan memperoleh 15 peratus undi tidak tercapai.

“Maklumat setakat ini menunjukkan calon-calon BERSAMA mendapat secara purata antara tiga hingga enam peratus undi.

“Ini bermakna kesemua calon BERSAMA hilang deposit kerana tidak mendapat undi minimum 12.5 peratus,” katanya menerusi hantaran di Facebook, malam ini.

Rafizi berkata, analisis awal turut menunjukkan berlaku peralihan sokongan pengundi yang ketara kepada Barisan Nasional (BN) merentasi semua kelompok umur dan kaum.

Menurutnya, trend tersebut bukan sahaja menjejaskan BERSAMA, malah turut memberi kesan kepada calon daripada Pakatan Harapan (PH), Perikatan Nasional (PN) dan MUDA.

Beliau berkata, pihaknya akan meneliti secara menyeluruh keputusan pengundian bagi menambah baik strategi parti dalam usaha memenangi hati pengundi pada masa hadapan.

Dalam masa sama, Rafizi merakamkan penghargaan kepada pengundi yang memberikan sokongan kepada calon-calon BERSAMA walaupun parti itu masih baharu.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberi kepercayaan kepada calon-calon BERSAMA dalam usia parti ini yang begitu muda.

“Penghargaan tertinggi adalah kepada calon-calon, ahli-ahli, sukarelawan dan penyokong BERSAMA yang setia membantu kempen PRN Johor 2026,” katanya.

Tambah beliau, satu majlis penghargaan kepada jentera parti akan diadakan di ibu pejabat baharu BERSAMA dalam tempoh terdekat sebaik sahaja premis itu siap digunakan dalam masa dua minggu.

“Walaupun keputusan PRN Johor tidak berpihak kepada BERSAMA, pengalaman berkempen akan membantu membina parti yang baru berusia 52 hari ini.

“Insya-Allah, kita akan terus berusaha dan mendoakan rakyat Malaysia terbuka untuk menerima BERSAMA satu hari nanti,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button