Isu Kg Melayu Majidi: Mohd Hairi sanggah dakwaan Rafizi, sifatkan sebagai politik murahan
JOHOR BAHRU – Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Larkin, Mohd Hairi Mad Shah membidas dakwaan Datuk Seri Rafizi Ramli yang menuduh pihak pentadbiran negeri bersikap lepas tangan berhubung isu tanah di Kampung Melayu Majidi.
Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, kenyataan yang dikeluarkan oleh bekas Menteri Ekonomi itu adalah tidak berasas dan bersifat mengelirukan rakyat bagi tujuan meraih sentimen politik semata-mata.
“Kalau nak meraih sokongan, kalau tak tahu, janganlah cerita. Formula yang awak buat untuk Malaysia pun, gagal. Apa lagi awak nak berkempen di Larkin dan untuk bantu calon kononnya.
“Tak payahlah Rafizi, banyak yang awak tak study lagi,” katanya menerusi hantaran video di akaun Facebooknya.
Beliau menegaskan bahawa segala tindakan yang diambil oleh kerajaan negeri adalah berpaksikan kepada data dan rekod Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru, bukan sekadar retorik kosong seperti yang dilemparkan oleh pembangkang.
Menurut Mohd Hairi, dakwaan kerajaan negeri tidak melakukan apa-apa juga sebenarnya tidak tepat kerana pelbagai inisiatif telah dilaksanakan sejak sekian lama bagi membantu penduduk.
Katanya, antara pendekatan yang diambil termasuk memudahkan urusan pentadbiran menerusi Seksyen 90A Kanun Tanah Negara (KTN) bagi memastikan permohonan sambung pajakan dilakukan dengan lebih teratur.
Selain itu katanya, kerajaan turut menawarkan diskaun premium sebanyak 50 peratus bagi meringankan beban kewangan penduduk di kampung tersebut.
“Usaha turun padang turut dipergiatkan dengan empat sesi pertemuan bersama penduduk yang membabitkan 91 individu bagi memastikan kerajaan mendekati rakyat secara terus.
“Hasil daripada komitmen berterusan itu, sebanyak 35 permohonan telah berjaya diluluskan dan menerima Notis 5A, dengan sesi penyerahan terbaharu disempurnakan oleh Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi pada 26 Jun lalu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau turut mendedahkan data Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru yang menunjukkan status semasa pajakan di kawasan tersebut, di mana sebanyak 938 rumah mempunyai baki pajakan 30 tahun dan ke bawah, 426 rumah 31 hingga 60 tahun, serta 23 rumah 61 tahun ke atas.
“Sebagai langkah proaktif, Pejabat Tanah Daerah Johor Bahru juga sedang membuka kaunter khas di Medan Niaga Kampung Melayu Majidi bermula 29 Jun hingga 3 Julai bagi memudahkan penduduk mengemukakan permohonan secara bersemuka.
“Respons memberangsangkan terbukti apabila seramai 77 penduduk telah tampil memohon dalam tempoh dua hari sahaja,” katanya.
Mengulas mengenai kritikan yang dilemparkan, Mohd Hairi mempersoalkan keikhlasan pihak pembangkang yang hanya mula bersuara apabila sudah tidak lagi berada dalam kedudukan untuk membuat keputusan.
Beliau mengingatkan bahawa isu tanah ini bukanlah perkara baharu, namun tiada penyelesaian menyeluruh yang mampu dibawa oleh pihak terbabit ketika mereka mempunyai kuasa dahulu.
Baginya, menjadikan isu ini sebagai modal politik murahan tanpa memahami kekangan undang-undang adalah satu tindakan yang tidak bertanggungjawab terhadap penduduk.
Mohd Hairi menegaskan bahawa pendirian kerajaan negeri tetap teguh untuk terus melindungi warisan dan identiti masyarakat Melayu bandar tersebut selaras dengan Manifesto Tekad BN.
“Komitmen di bawah Teras satu iaitu memperkasa komuniti Bangsa Johor menjadi teras utama dalam memastikan setiap penyelesaian dilakukan secara telus dan adil,” katanya.
Beliau menambah dengan memberi jaminan bahawa kerajaan tidak akan membiarkan penempatan bersejarah itu dijadikan bahan sensasi politik, sebaliknya akan terus fokus dalam memastikan kebajikan serta urusan pemilikan tanah penduduk di Kampung Melayu Majidi dipermudahkan mengikut kerangka undang-undang yang sedia ada.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |





















