PRN Johor: Ekonomi, infrastruktur antara fokus Soraya Badaruddin di DUN Sungai Balang
MUAR – Pemerkasaan ekonomi tempatan menerusi penciptaan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti serta sokongan kepada usahawan, nelayan, petani dan perusahaan kecil menjadi antara lima tekad yang digariskan calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, Soraya Badaruddin pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Dalam kenyataan hari ini, Soraya berkata, lima tekad tersebut dirangka hasil daripada pertemuan dan sesi menyantuni penduduk bagi memahami keperluan serta harapan masyarakat di kawasan berkenaan.
Menurutnya, usaha memperkasa ekonomi setempat akan dilaksanakan dengan mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti selain memperkukuh ekosistem usahawan tempatan, komuniti nelayan, petani dan syarikat perniagaan kecil supaya ekonomi Sungai Balang terus berkembang serta berdaya tahan.
“Aspek infrastruktur dan ketersambungan turut akan diberi perhatian menerusi usaha memperjuangkan jaringan jalan raya yang lebih baik, sistem saliran lebih cekap, akses internet berkelajuan tinggi, pengangkutan awam yang lebih teratur serta kemudahan awam yang moden dan selesa,” katanya.
Dalam masa sama, Soraya berkata, pembangunan modal insan akan diperkasakan melalui peluasan akses pendidikan, latihan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), program latihan kemahiran serta peluang pembangunan kepimpinan untuk golongan belia.
Katanya, kebajikan rakyat juga menjadi antara keutamaan dengan memastikan sistem penyampaian bantuan yang lebih menyeluruh, adil dan bersasar kepada warga emas, ibu tunggal, orang kurang upaya (OKU) serta komuniti B40.
Beliau berkata, usaha itu turut disokong dengan penambahbaikan kualiti perkhidmatan kesihatan setempat serta kesejahteraan komuniti.
Selain itu, Soraya berhasrat membangunkan Sungai Balang sebagai DUN yang berdaya saing dan mampan dengan memanfaatkan potensi sektor perikanan, pertanian moden, pelancongan domestik serta ekonomi digital, di samping memelihara kelestarian alam sekitar.
“Iltizam ini bukan sekadar janji, tetapi ia adalah tekad saya untuk berkhidmat demi mengangkat potensi penuh Sungai Balang.
“Perubahan yang kita dambakan memerlukan sokongan dan mandat padu daripada setiap lapisan masyarakat,” katanya.
Beliau turut menggesa pengundi Sungai Balang memberi peluang kepadanya untuk merealisasikan lima tekad tersebut demi masa depan kawasan berkenaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








