POLITIK

PRN Johor: PH beri bayangan sedia bentuk kerajaan campuran

JOHOR BAHRU – Pakatan Harapan (PH) terbuka untuk menjalin kerjasama dengan mana-mana parti politik bagi membentuk kerajaan negeri selepas Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Naib Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri PKR Johor, Dr Maszlee Malik berkata, PH terbuka kepada kerjasama berkenaan sekiranya ia dapat menjamin kestabilan pentadbiran serta memberi manfaat kepada rakyat, lapor SH Online.

“Bagi saya, sebagai pihak yang berkhidmat kepada rakyat, kita terbuka untuk duduk dengan semua pihak, termasuk yang mungkin berlainan haluan dengan kita.

“Sebab kita meraikan kepelbagaian. Yang penting, kita meletakkan keutamaan kepada rakyat dan juga kepada negeri Johor itu sendiri,” katanya selepas mengadakan sesi walkabout di Setia Indah, di sini hari ini.

Terdahulu, Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Johor, Datuk Seri Dr Sahruddin Jamal dilaporkan sebagai berkata, gabungan itu tetap tidak akan bekerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri selepas PRN.

Ketua Badan Pimpinan Negeri (BPN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Johor itu bagaimanapun berkata, gabungan itu terbuka bergabung dengan parti mempunyai ideologi sehaluan.

Dalam perkembangan kempen, Maszlee yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa berkata, jenteranya mendapat sambutan luar biasa daripada penduduk dari pelbagai latar belakang dan peringkat usia.

“Dalam menuju minggu terakhir ini, kita akan merayu kepada mereka yang bekerja di luar, duduk di luar, untuk balik pulang mengundi,” ujarnya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button