MCMC tubuh pasukan petugas khas bendung berita palsu sepanjang PRN Johor
BATU PAHAT – Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menubuhkan pasukan petugas khas bagi memantau serta menangani penyebaran berita palsu di media sosial sepanjang kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, pasukan petugas itu akan bekerjasama rapat dengan Suruhanjaya Pilihan Raya dan Polis Diraja Malaysia bagi memastikan sebarang maklumat tidak benar dapat ditangani dengan segera.
Menurutnya, langkah itu penting bagi memastikan proses demokrasi berjalan dengan sihat dan rakyat menerima maklumat yang tepat sepanjang tempoh berkempen.
“MCMC telah mewujudkan satu pasukan petugas khas untuk menangani berita palsu yang disebarkan di media sosial dan akan bekerjasama dengan SPR serta PDRM.
“Semalam dan hari ini sahaja, terdapat beberapa berita palsu yang telah dikenal pasti dan penafian segera telah dibuat oleh pihak berkaitan,” katanya pada sidang media selepas Program Hasrat MADANI di sini hari ini.
Beliau berkata, antara fitnah yang dikesan ialah dakwaan kononnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengeluarkan arahan menghalang mana-mana pihak memasuki kawasan Felda.
Menurut Fahmi, Perdana Menteri sendiri telah menjelaskan bahawa tiada sebarang arahan sedemikian pernah dikeluarkan, namun pelbagai tuduhan dan fitnah terus disebarkan di media sosial.
Beliau turut menafikan dakwaan bahawa Perdana Menteri mengarahkan pembatalan Sambutan Hari Peneroka Peringkat Negeri Johor.
“Perkara itu tidak benar. Berdasarkan surat yang dikeluarkan pihak Felda, program berkenaan hanya ditangguhkan dan bukannya dibatalkan.
“Tiada sebarang arahan daripada Perdana Menteri untuk membatalkan sambutan tersebut,” katanya lagi.
Sehubungan itu, Fahmi mengingatkan semua pihak termasuk parti yang bertanding supaya mengamalkan kempen yang matang dan berasaskan fakta.
“Saya minta semua pihak berkempen secara sihat dan mengelakkan penyebaran berita palsu. Kita percaya kempen yang sihat akan memastikan demokrasi negara terus berkembang dengan baik,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








