BERITA SEMASAKEMENTERIAN KOMUNIKASI

Australia sudi kongsi pengalaman pembangunan sistem alamat nasional

KUALA LUMPUR – Pengalaman Australia dalam membangunkan sistem alamat nasional wajar dijadikan rujukan oleh Malaysia bagi merangka sistem yang lebih cekap dan menyeluruh, kata Ketua Pegawai Teknikal Geoscape Australia, Joseph Abhayaratna.

Menurutnya, pelaksanaan sistem berkenaan di Australia melibatkan kerjasama pelbagai agensi dan penjaga alamat di peringkat negeri serta persekutuan bagi memastikan pangkalan data yang tersusun dan boleh diakses secara terbuka.

“Dalam amalan kami, data alamat dikumpul daripada pelbagai pihak berkepentingan yang menggunakan sistem berbeza mengikut keperluan masing-masing. Data itu kemudian diselaraskan oleh Geoscape Australia untuk dijadikan satu sumber tunggal yang seragam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menyampaikan sesi bertajuk Geoscape Geocoded National Address File (G-NAF) sempena Persidangan Alamat Nasional 2025 anjuran Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) di sini, hari ini.

Persidangan dua hari itu adalah platform strategik dalam memperkasa pembangunan serta standardisasi Sistem Alamat Kebangsaan (NUAS).

Objektif utama penganjuran adalah untuk mewujudkan satu pangkalan data alamat yang tunggal, tepat dan diiktiraf sebagai sumber rujukan rasmi negara untuk kegunaan sektor awam, swasta dan rakyat.

Joseph berkata, antara manfaat besar sistem alamat berpusat ialah kecekapan sektor awam khususnya dalam pelaksanaan bancian, penyebaran data kerajaan serta tindak balas terhadap perubahan iklim.

Menurutnya, data alamat di Australia dibuka kepada umum selepas kerajaan menandatangani kontrak bersama Geoscape bagi membolehkan akses meluas kepada sektor logistik, kesihatan, insurans dan agensi kerajaan.

Beliau turut mengulas pendekatan Malaysia dalam membangunkan NUAS berada di landasan yang tepat apabila mengambil kira amalan terbaik antarabangsa seperti Australia dan United Kingdom.

“Saya lihat anda berada dalam fasa perancangan yang sangat baik. Malaysia tidak terburu-buru mencipta sistem baharu, sebaliknya memilih untuk belajar daripada negara lain. Itu satu langkah bijak,” katanya.

Jelas beliau, persamaan struktur pentadbiran persekutuan dan negeri antara Malaysia dan Australia membolehkan model pembangunan sistem alamat di negaranya diaplikasikan di sini dengan penyesuaian tertentu.

“Cabaran seperti alamat di kawasan luar bandar dan bandar adalah serupa. Maka, kami yakin pendekatan Australia boleh diguna pakai di Malaysia,” katanya.

Joseph berkata, pelaksanaan sistem berpusat di negaranya telah mengurangkan duplikasi proses antara agensi, menjimatkan kos dan mempercepatkan penyampaian perkhidmatan.

“Kajian mendapati nilai ekonomi daripada pembangunan sistem alamat berpusat mencecah lebih AUD1.4 bilion. Produktiviti meningkat apabila kerajaan beroperasi dengan sumber lebih efisien.

“Ini bukan sekadar soal alamat tetapi bagaimana data itu boleh memacu ekonomi digital sesebuah negara,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button