Domenicali puji kejayaan anjur GP Bahrain di Sepang dalam tempoh dua bulan
SEPANG – Penganjuran Gulf Air Bahrain Grand Prix di Malaysia 2026 dalam tempoh hanya dua bulan disifatkan sebagai pencapaian luar biasa, sekali gus membuktikan kerjasama erat antara Litar Antarabangsa Bahrain (BIC) dan Litar Antarabangsa Sepang (SIC).
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Formula 1 (F1), Stefano Domenicali berkata, kerjasama erat kedua-dua litar itu menjadi antara faktor utama kejayaan merealisasikan perlumbaan GP Bahrain di Sepang.
“Pengalaman GP Bahrain yang luar biasa di Malaysia. Saya menghargai semangat dan komitmen Putera Mahkota merangkap Perdana Menteri Bahrain, Putera Salman Hamad Al Khalifa kepada perlumbaan itu dan F1.
“Visi, kesungguhan serta pemikiran tangkas baginda membolehkan kita menikmati gambaran sebenar acara Bahrain pada hujung minggu yang disempurnakan hanya dalam tempoh singkat,” katanya dalam kenyataan.
Baca juga : Kerajaan teliti kembalikan GP Malaysia ke kalendar F1 – PM
Domenicali turut mengakui F1 menerima sambutan hangat selepas kembali ke Malaysia dan SIC buat julung kalinya dalam tempoh hampir sedekad, selain menyaksikan sukan itu melalui perkembangan serta transformasi yang signifikan.
Beliau turut menyatakan penghargaan kepada peminat sukan berkenaan kerana mewujudkan suasana amat meriah sepanjang hujung minggu perlumbaan.
“Saya berterima kasih kepada peminat, semangat dan minat mereka kepada sukan itu sangat jelas.
“Komitmen mereka ketika kami beralih untuk menganjurkan perlumbaan di sini amat luar biasa. Kami berharap mereka pulang dengan kenangan unik dalam sejarah F1,” katanya.
Sementara itu, Presiden Persekutuan Automobil Antarabangsa (FIA), Mohammed Ben Sulayem turut senada bahawa kejayaan menganjurkan GP berkenaan dalam tempoh singkat mencerminkan kerjasama erat antara Malaysia dan Bahrain.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








