F1 2026: RM17.5 juta diperuntukkan tambah baik jalan di Sepang – Aiman Athirah
SEPANG – Sebanyak RM17.5 juta diperuntukkan bagi kerja-kerja penyelenggaraan dan penambahbaikan infrastruktur jalan raya di sekitar Sepang sebagai persiapan menyambut penganjuran F1 Gulf Air Bahrain Grand Prix Malaysia 2026.
Timbalan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Aiman Athirah Sabu berkata, peruntukan itu melibatkan RM16 juta daripada Kerajaan Persekutuan bagi penyelenggaraan Jalan Persekutuan, manakala RM1.5 juta disediakan Kerajaan Negeri Selangor untuk kerja-kerja di Jalan Negeri B48.
“Jalan Persekutuan yang terlibat membabitkan laluan FT26, FT27, FT29 dan FT344, manakala kerja di Jalan Negeri B48 turut diberi perhatian bagi memastikan laluan utama berada dalam keadaan baik menjelang kehadiran pengunjung dari dalam dan luar negara.
“Kerja-kerja yang sedang dilaksanakan meliputi pembaikan permukaan jalan, penyelenggaraan perabot jalan serta penambahbaikan sistem pencahayaan bagi meningkatkan aspek keselamatan dan keselesaan pengguna,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sepang berkata, kerja-kerja berkenaan dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Daerah Sepang bersama Roadcare, Infrasel serta pasukan teknikal berkaitan dan disasarkan siap pada 15 September 2026.
Menurutnya, penganjuran semula F1 di Sepang bukan sahaja membawa kembali acara sukan permotoran bertaraf dunia, malah menjadi peluang untuk memastikan manfaat serta penambahbaikan infrastruktur turut dirasai rakyat setempat.
“Apabila Sepang menjadi tumpuan pengunjung dari dalam dan luar negara, kita mahu memastikan wajah Sepang berada dalam keadaan terbaik dengan jalan raya lebih selamat, persekitaran lebih kemas dan kemudahan awam lebih bersedia,” menurutnya.
Pada masa sama beliau turut memberi penghargaan kepada JKR Daerah Sepang, semua agensi serta pasukan teknikal yang sedang bertungkus-lumus memastikan kerja-kerja penambahbaikan dapat disiapkan mengikut jadual.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








