Anggota tentera cedera ditembak rakan ketika latihan menembak
SEREMBAN – Seorang anggota tentera cedera di bahagian muka selepas dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan rakannya ketika menjalani latihan di lapang sasar Sungai Menyala, Port Dickson, semalam.
Timbalan Ketua Polis Negeri Sembilan, Senior Asisten Komisioner Mohd Nasharudin Mohd Shariff berkata, pihaknya menerima laporan mengenai kejadian itu yang berlaku kira-kira jam 2.15 petang.
Menurut beliau, ketika kejadian mangsa berada bersama beberapa anggota lain di lokasi berkenaan sebelum dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan oleh seorang rakan sepasukan.
“Polis mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian seorang anggota tentera yang terkena tembakan di lapang sasar Sungai Menyala.
“Berdasarkan siasatan awal, mangsa dipercayai terkena tembakan yang dilepaskan seorang rakan sepasukan ketika berada di lokasi berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata, susulan kejadian itu, seorang lelaki berusia lingkungan 20-an yang juga anggota tentera telah ditahan bagi membantu siasatan.
“Mangsa yang mengalami kecederaan pada bahagian muka dibawa ke Hospital Port Dickson untuk mendapatkan rawatan awal sebelum dirujuk ke Hospital Tuanku Jaafar (HTJ), Seremban bagi pemeriksaan dan rawatan lanjut.
“Mangsa kini dilaporkan berada dalam keadaan stabil.
“Kes disiasat mengikut Seksyen 37 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 337 Kanun Keseksaan,” katanya lagi.
Tambah beliau, siasatan lanjut sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian berkenaan.
Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan atau menyebabkan penyebaran maklumat tidak tepat berkaitan insiden tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








