Cubaan seludup 20 ekor lembu gagal, lelaki cabut lari tinggal lori
RANTAU PANJANG – Cubaan seorang lelaki menyeludup 20 ekor lembu dari Thailand gagal apabila kegiatan itu dikesan anggota Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam operasi pemantauan di tebing Sungai Golok, semalam.
Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (Dua Divisyen) dalam satu kenyataan berkata, pergerakan sebuah lori yang mencurigakan itu dikesan menggunakan mini Unmanned Aerial Vehicle (UAV) pada pukul 6.45 petang.
Menurutnya, hasil pemantauan itu turut mendapati 20 ekor lembu dari Thailand sedang menunggu untuk diseludup masuk ke negara ini melalui laluan Sungai Golok.
“Ketika serbuan dijalankan, seorang lelaki dipercayai warga tempatan bertindak melarikan diri dengan meninggalkan kenderaan tersebut.
“Pemeriksaan lanjut ke atas lori berkenaan menemui 20 ekor lembu yang dipercayai diseludup,” katanya.
Tambah kenyataan itu, kesemua haiwan tersebut tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan atau permit import yang sah.
Nilai keseluruhan rampasan termasuk lori dianggarkan berjumlah RM225,000.
Kes telah dilaporkan di Balai Polis Lubok Stol, manakala semua rampasan diserahkan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (ICQS) Bukit Bunga untuk tindakan lanjut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








