AS arah undur 5,000 tentera dari Jerman, Pentagon sahkan langkah strategik
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) mengarahkan pengunduran kira-kira 5,000 anggota tenteranya dari Jerman dalam tempoh enam hingga 12 bulan akan datang, menurut kenyataan Pentagon semalam.
Arahan itu dikeluarkan oleh Setiausaha Pertahanan AS, Pete Hegseth dua hari selepas Presiden Donald Trump memaklumkan pentadbirannya sedang mempertimbangkan pengurangan jumlah tentera di negara sekutu tersebut.
Ketua jurucakap Pentagon, Sean Parnell berkata, ketika ini kira-kira 36,000 anggota tentera AS ditempatkan di Jerman dan keputusan itu dibuat selepas semakan menyeluruh terhadap kedudukan penempatan pasukan di Eropah.
“Setiausaha Pertahanan mengarahkan pengunduran kira-kira 5,000 anggota tentera dari Jerman.
“Keputusan ini dibuat selepas semakan menyeluruh terhadap kedudukan penempatan pasukan jabatan itu di Eropah dan mengambil kira keperluan operasi di rantau berkenaan serta keadaan semasa di lapangan,” katanya memetik laporan Al Jazeera.
Langkah tersebut dibuat susulan ketegangan yang memuncak antara Trump dan Canselor Jerman, Friedrich Merz minggu ini.
Merz sebelum ini dilaporkan menyifatkan kepimpinan Iran sebagai ‘menghina’ AS serta mempersoalkan strategi Washington dalam rundingan dengan Tehran bagi menamatkan konflik di Asia Barat.
Trump kemudian membalas kenyataan itu menerusi platform Truth Social dengan mendakwa Merz menganggap Iran memiliki senjata nuklear sebagai sesuatu yang boleh diterima dan menyifatkan beliau ‘tidak tahu apa yang diperkatakannya’.
Pengunduran tentera itu juga berlaku ketika Trump terus mengkritik negara anggota Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) kerana didakwa gagal memenuhi tuntutan Washington dalam membantu menjamin keselamatan laluan strategik Selat Hormuz yang terjejas akibat konflik dengan Iran.
Trump turut menyifatkan NATO sebagai ‘penakut’ dan memberi amaran bahawa AS akan mengingati keengganan sekutunya menyokong kempen ketenteraan terhadap Iran.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







