Suspek kes tembakan Universiti Brown ditemukan mati bunuh diri
RHODE ISLAND – Suspek yang dipercayai terlibat dalam insiden tembakan di Universiti Brown di bandar Providence di sini, yang mengorbankan dua nyawa ditemukan mati sekali gus menamatkan pemburuan pihak berkuasa terhadapnya.
Menurut laporan agensi berita CNN, pihak berkuasa mengesahkan suspek yang merupakan bekas penuntut universiti tersebut dan seorang warga Portugal berusia 48 tahun meninggal dunia malam tadi (waktu tempatan), dipercayai membunuh diri.
Ketua Polis Providence, Oscar Perez berkata, suspek dikenali sebagai Claudio Neves-Valente ditemukan mati di sebuah stor di New Hampshire bersama dua senjata api dan dipercayai bertindak secara bersendirian.
Menurutnya, suspek juga dipercayai terlibat dalam pembunuhan seorang ahli fizik di Institut Teknologi Massachusetts (MIT) di kediamannya di Boston.
“Setakat ini, tiada petunjuk jelas mengenai motif di sebalik dua insiden tembakan yang berlaku di dua universiti berprestij itu.
“Namun usaha penyiasatan yang bermula di bandar Providence membawa kami kepada kaitan tersebut,” kata Perez tanpa mengulas lanjut, sambil memaklumkan satu sidang media akan diadakan di Boston.
Sementara itu Datuk Bandar Providence Brett Smiley menyambut baik berita tersebut.
“Pada malam ini (malam tadi), penduduk Providence akhirnya boleh menarik nafas lega,” kata Smiley kepada pemberita.
Insiden tembakan di Universiti Brown di Providence, Rhode Island berlaku pada Sabtu lalu apabila seorang lelaki bersenjata raifal menceroboh sebuah bangunan kampus ketika pelajar sedang menduduki peperiksaan.

Suspek melepaskan tembakan, mengorbankan dua pelajar sebelum melarikan diri dari lokasi kejadian.
Mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai Ella Cook, Naib Presiden Persatuan Parti Republikan Brown dan Mukhammad Aziz Umurzokov, warga Uzbekistan yang bercita-cita menjadi pakar bedah saraf.
Menurut Smiley, seorang mangsa terselamat berada dalam keadaan kritikal tetapi stabil, lima lagi dilaporkan stabil manakala dua telah dibenarkan keluar dari hospital.
Sepanjang beberapa hari pemburuan, penyiasat berdepan kekurangan petunjuk, dengan pihak berkuasa hanya mengedarkan imej individu berkepentingan serta seorang lagi individu yang berada berhampiran lokasi kejadian bagi membantu menjejaki suspek.
Pihak berkuasa turut mengadakan taklimat media harian dan secara terbuka menyuarakan kekecewaan terhadap operasi pencarian yang pada peringkat awal gagal membuahkan hasil.
Seorang lelaki sebelum ini ditahan berkaitan kes berkenaan namun dibebaskan selepas siasatan lanjut.
Universiti Brown turut menerima kritikan, termasuk daripada Presiden Donald Trump, berhubung tahap keselamatan kampus selepas didedahkan bahawa kesemua 1,200 kamera keselamatan universiti itu tidak disambungkan kepada sistem pemantauan polis.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








