AS rampas kapal tangki berkaitan Iran di Lautan Hindi
WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) terus meningkatkan operasi penguatkuasaan maritim apabila pasukannya sekali lagi ‘menawan’ sebuah kapal tangki di Lautan Hindi yang didakwa terlibat dalam aktiviti menyokong Iran.
Jabatan Pertahanan AS dalam kenyataan memaklumkan, tindakan terbaharu itu melibatkan kapal M/T Majestic X yang dikenakan sekatan dan tidak berdaftar dengan mana-mana negara.
Menurut kenyataan tersebut, kapal berkenaan dikesan membawa muatan minyak dari Iran sebelum dipintas oleh pasukan AS dalam operasi di laut.
“Pasukan AS melaksanakan pintasan maritim dan menaiki kapal M/T Majestic X yang dikenakan sekatan di Lautan Hindi,” menurut kenyataan yang dimuat naik di platform X.
Tambahnya, operasi berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha berterusan AS untuk mengganggu rangkaian perdagangan haram serta memintas kapal yang memberi sokongan material kepada Iran tanpa mengira lokasi operasi.
Rakaman yang dikongsikan turut menunjukkan anggota tentera AS melakukan teknik ‘rappelling’ dari helikopter ke dek kapal tangki bersaiz besar.
Operasi itu dijalankan di bawah bidang kuasa Markas Indo-Pasifik AS yang meliputi kawasan luas termasuk Lautan Pasifik dan Lautan Hindi, namun lokasi tepat kejadian tidak didedahkan.
Terdahulu pada 21 April lalu, Jabatan Pertahanan AS turut melaksanakan operasi sama ke atas kapal M/T Tifani, yang juga dikenakan sekatan dan tidak berdaftar.
Firma risikan Vanguard Tech memaklumkan kapal tersebut berlayar menggunakan bendera Botswana sebelum dipintas di Lautan Hindi sebagai sebahagian daripada langkah penguatkuasaan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








