LUAR NEGARA

AS, Israel adakan pertemuan tertutup ketika ketegangan dengan Iran meningkat

WASHINGTON – Ketegangan antara Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran semakin memuncak, sekali gus menimbulkan kebimbangan terhadap kemungkinan berlakunya konflik lebih besar di rantau Asia Barat.

Perkembangan itu susulan satu pertemuan tertutup antara pegawai kanan tentera AS dan Israel yang diadakan di Pentagon, Washington, hujung minggu lalu.

Menurut laporan beberapa portal antarabangsa, pertemuan sulit tersebut dipercayai berkait dengan langkah strategik AS untuk memperkukuh kehadiran ketenteraan di Asia Barat dalam menghadapi ancaman yang dikaitkan dengan Iran.

Pertemuan itu melibatkan Pengerusi Ketua Turus Bersama AS, Jeneral Dan Caine dan Ketua Staf Angkatan Tentera Israel, Eyal Zamir. Maklumat mengenai pertemuan tersebut didedahkan oleh dua pegawai AS yang enggan dikenali.

US Israel
Sebuah pesawat F/A-18E Super Hornet dilancarkan dari dek penerbangan USS Abraham Lincoln ketika kapal induk kelas Nimitz itu menjalankan operasi rutin ketenteraan di Laut Arab.

Bagaimanapun, tiada butiran perbincangan didedahkan dan pertemuan seumpama itu juga tidak pernah diumumkan secara rasmi sebelum ini.

Portal India Today melaporkan bahawa pertemuan berkenaan bukan sekadar kunjungan rasmi, sebaliknya mencerminkan usaha penyelarasan strategi keselamatan antara Washington dan Tel Aviv ketika tekanan terhadap Iran semakin meningkat.

Selepas lawatan ke Washington, Zamir dilaporkan mengadakan perbincangan lanjut dengan Menteri Pertahanan Israel, Israel Katz, di Tel Aviv. Perbincangan itu memberi tumpuan kepada penilaian situasi keselamatan semasa di Asia Barat serta tahap kesiapsiagaan tentera Israel menghadapi sebarang kemungkinan, menurut kenyataan pejabat Katz.

Pertemuan tersebut berlaku ketika AS dilaporkan meningkatkan kehadiran armada laut dan sistem pertahanan udara di Asia Barat. Langkah itu dikatakan sebagai respons kepada ancaman Presiden Donald Trump terhadap Iran, yang bertujuan memberi tekanan supaya Tehran kembali ke meja rundingan.

Dalam pada itu, beberapa agensi berita antarabangsa melaporkan bahawa Iran memberi amaran konflik lebih besar boleh tercetus sekiranya AS melancarkan serangan, sekali gus meningkatkan kebimbangan dalam kalangan pemerhati serantau dan masyarakat antarabangsa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button