Kapal Conscience ‘direhatkan’ untuk pemeriksaan keselamatan rutin
ISTANBUL – Kapal Conscience, salah sebuah kapal dalam konvoi Freedom Flotilla Coalition (FFC) yang membawa misi kemanusiaan ke Gaza, kini berhenti sepenuhnya bagi menjalani prosedur keselamatan rutin selepas menempuh perjalanan jauh di perairan Mediterranean.
Menurut kenyataan MyCARE malam ini, pemeriksaan itu merupakan langkah penting untuk memastikan sistem tenaga, navigasi serta struktur kapal berada dalam keadaan baik dan beroperasi dengan selamat.
“Pihak misi faham akan kebimbangan orang awam, namun semua sistem dan kru dilaporkan selamat dan berfungsi seperti biasa.
“Pemeriksaan ini dilakukan supaya kapal dapat beroperasi semula dengan selamat dan lancar,” jelas kenyataan itu.
Pihak misi turut memaklumkan bahawa semua kru, termasuk sukarelawan antarabangsa dan wakil dari Malaysia berada dalam keadaan selamat dengan semua sistem dilaporkan berfungsi seperti biasa.
Pemeriksaan keselamatan dijangka selesai dalam masa terdekat sebelum Conscience meneruskan pelayaran ke destinasi seterusnya bersama kapal lain dalam armada Freedom Flotilla.

Freedom Flotilla merupakan gelombang ketiga inisiatif kemanusiaan antarabangsa yang menghimpunkan aktivis, doktor dan wartawan dari pelbagai negara bagi menghantar bantuan terus ke Gaza, sekaligus memecah sekatan maritim Israel.
MyCARE dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan misi itu disertai oleh sembilan rakyat negara ini termasuk empat doktor perubatan di dua buah kapal berbeza iaitu Umm Saad dan Conscience.
Penyertaan mereka dilihat sebagai simbol solidariti rakyat Malaysia terhadap perjuangan kemanusiaan rakyat Palestin.
Sebelum ini, misi memecah sekatan Israel melalui jalan laut dilakukan oleh sekumpulan lebih 40 buah kapal melalui konvoi Global Sumud Flotilla yang berakhir dua hari lalu selepas kesemua peserta ditahan pihak rejim Zionis itu.
Mereka termasuk 23 rakyat Malaysia yang dijangka pulang ke tanah air esok selepas dibebaskan Israel selepas ditahan selama hampir dua hari.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








