LUAR NEGARA

Israel roboh bangunan di Baitulmaqdis Timur, puluhan keluarga penduduk Palestin diusir

BAITULMAQDIS – Ketegangan di Baitulmaqdis Timur terus memuncak apabila pihak berkuasa Israel merobohkan sebuah bangunan kediaman empat tingkat di kawasan Silwan, memaksa puluhan keluarga Palestin meninggalkan rumah mereka dalam satu operasi yang dijalankan pada tengah malam, menurut agensi berita antarabangsa.

Bangunan yang terletak berhampiran Kota Lama itu menempatkan kira-kira 12 unit pangsapuri dengan hampir 100 penduduk, kebanyakannya terdiri daripada wanita, kanak-kanak dan warga emas.

Ia merupakan insiden terbaharu dalam siri perobohan struktur kediaman di Baitulmaqdis Timur, apabila pihak berkuasa Israel menyasarkan pembinaan yang didakwa dilakukan tanpa permit di bahagian timur bandar berkenaan.

Beberapa buah jentera merobohkan sebuah bangunan di kawasan Wadi Qaddum, berhampiran kejiranan Silwan di timur Baitulmaqdis.

Pentadbiran Gabenor Baitulmaqdis yang bernaung di bawah Pihak Berkuasa Palestin (PA) berpangkalan di Ramallah berkata, tindakan tersebut mencerminkan dasar berterusan Israel untuk mengusir penduduk Palestin secara paksa dan mengosongkan bandar daripada penduduk asalnya.

“Sebarang operasi merobohkan bangunan dan menghalau penduduk dari kediaman mereka adalah pelan pendudukan yang jelas untuk menggantikan pemilik tanah asal dengan peneroka haram,” katanya memetik laporan AFP.

Menurut saksi, tiga jentolak dikerahkan untuk merobohkan bangunan berkenaan ketika penduduk hanya mampu menyaksikan barangan peribadi dan pakaian mereka berselerakan di jalan-jalan sekitar kawasan itu.

Polis Israel menutup laluan utama berhampiran lokasi kejadian, manakala pasukan keselamatan ditempatkan di beberapa lokasi strategik termasuk di atas bumbung bangunan berdekatan bagi mengawal keadaan.

Menjelang tengah hari, sebahagian besar struktur kediaman itu telah diratakan sepenuhnya.

Aktivis tempatan berkata, bangunan tersebut didirikan di atas tanah milik persendirian Palestin, namun diperintahkan untuk dirobohkan atas alasan tidak memiliki permit pembinaan.

Dua pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Israel, Ir Amin dan Bimkom, menyifatkan operasi itu sebagai yang terbesar dilaksanakan sepanjang 2025, sambil memaklumkan bahawa sekitar 100 keluarga Palestin di Baitulmaqdis Timur kehilangan tempat tinggal akibat perobohan berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button