Malaysia sokong usaha Palestin bina semula rangkaian komunikasi di Gaza
BAKU – Malaysia menegaskan komitmennya untuk membantu Palestin membangunkan semula rangkaian komunikasi di Gaza yang musnah akibat serangan rejim Zionis, termasuk melalui kerjasama teknikal dan perkongsian kepakaran.
Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, perkara itu dibincangkan dalam pertemuannya dengan Timbalan Menteri Telekomunikasi dan Ekonomi Digital Palestin, Huda Al-Wahidi, pada sela Persidangan Pembangunan Telekomunikasi Sedunia 2025 (WTDC-25) semalam.
Menurutnya, Malaysia sedia meneliti beberapa mekanisme bagi membantu mengatasi masalah kesalinghubungan yang semakin meruncing di Palestin, khususnya di Gaza.
“Saya akan bawa beberapa dapatan ke Jemaah Menteri dan berbincang dengan Perdana Menteri serta Wisma Putra supaya sokongan yang diberikan bukan hanya dari segi teknikal,” memetik laporan BH online.
Fahmi berkata, Palestin turut memaklumkan hasrat membawa usul khas kepada Kesatuan Telekomunikasi Antarabangsa (ITU) bagi menuntut takrifan baharu yang menjadikan kesalinghubungan sebagai aspek kemanusiaan yang tidak boleh dijadikan sasaran dalam konflik peperangan.
“Mereka merasakan ada keperluan untuk mentakrifkan semula kesalinghubungan sebagai hak kemanusiaan yang perlu dilindungi,” katanya lagi.
Dalam pertemuan sama, beliau turut menyampaikan hasrat kerajaan Malaysia menyediakan biasiswa kepada lima rakyat Palestin dalam bidang kejuruteraan rangkaian dan radio bagi membantu usaha membina semula infrastruktur komunikasi yang musnah.
Fahmi sebelum itu pada Oktober lalu sudah memaklumkan bahawa pemberian biasiswa berkenaan adalah antara sokongan jangka panjang Malaysia kepada Palestin.
Selain pertemuan dengan wakil Palestin, Fahmi turut bertemu Timbalan Menteri Komunikasi dan Teknologi Digital Afrika Selatan, Mondli Gungubele, bagi membincangkan peluang kerjasama dua hala terutama dalam sektor telekomunikasi.
Gungubele menyatakan rasa kagum terhadap kemampuan Malaysia melaksanakan rangkaian 5G dalam masa singkat dan menawarkan harga internet yang rendah berbanding banyak negara lain.
Pertemuan yang berlangsung di luar WTDC-25 itu turut dihadiri Duta Malaysia ke Azerbaijan, Ahmad Kamrizamil Mohd Riza serta pegawai kanan Kementerian Komunikasi dan MCMC.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








