
Kutipan derma Palestin kini cecah RM81 juta
PUTRAJAYA – Kutipan tabung Akaun Amanah Kemanusiaan Rakyat Palestin (AAKRP) yang berjumlah RM81 juta akan digunakan untuk pembekalan keperluan perubatan, makanan, minuman serta kemudahan asas untuk rakyat Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kutipan kendalian Kementerian Luar itu kini menghampiri sasarannya sebanyak RM100 juta.
Kejayaan mengumpul dana dalam masa yang singkat itu kata beliau adalah bukti keprihatinan rakyat negara ini terhadap rakyat Palestin yang dizalimi Israel ketika ini.
“Saya terharu dalam masa singkat dengan dana awal kita dapat kumpul lebih RM80 juta yang akan memenuhi matlamat diumumkan peringkat awal iaitu RM100 juta,” katanya ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan tabung AAKRP di sini hari ini.
Beliau yang juga Menteri Kewangan berkata, sebahagian daripada penyumbang terbesar tabung itu adalah Khazanah Nasional Bhd serta syarikat berkaitan kerajaan (GLC) iaitu RM15 juta, Yayasan Albukhary RM15 juta dan YTL Corporation Bhd RM5 juta.
“Ini menunjukkan keprihatinan dan terima kasih kepada syarikat kerajaan, swasta dan syarikat bukan Islam,” kata beliau.
Tabung AAKRP diwujudkan susulan konflik keganasan dan pertempuran di Semenanjung Gaza ketika ini dengan kerajaan telah menyumbang RM10 juta dana awal tabung itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








