BERITA SEMASA

Mangsa letupan paip gas terima bantuan sewa rumah RM6,000

SEPANG – Penduduk yang terjejas akibat letupan paip gas di Putra Heights bakal menerima bantuan sewaan rumah sebanyak RM6,000 bagi tempoh tiga bulan, sebagai usaha meringankan beban mereka.

Exco Perumahan dan Kebudayaan Selangor, Datuk Borhan Aman Shah berkata, bantuan itu akan disalurkan terus ke akaun peribadi setiap mangsa yang terlibat.

“Kerajaan negeri dengan kerjasama Pejabat Tanah akan menguruskan proses ini, dan dijangka bayaran akan dimasukkan pada hari Isnin,” katanya menurut laporan Buletin TV3.

Dalam perkembangan sama, beliau turut memaklumkan sebanyak 100 unit rumah akan ditawarkan kepada mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat insiden berkenaan.

“Unit-unit ini akan disediakan di Kota Warisan dan kita akan beri keutamaan kepada pasangan yang telah berkahwin,” ujarnya.

Tambah beliau, antara penyewa di kawasan terjejas ialah pasangan muda yang baru berkahwin.

Oleh itu, kerajaan negeri bercadang membenarkan mereka menyewa dahulu sebelum diberikan subsidi untuk memiliki rumah berkenaan.

“Sekiranya dalam tempoh lima tahun ekonomi keluarga ini stabil, kita akan kembalikan 30 peratus daripada bayaran sewaan kepada mereka,” jelasnya.

Langkah tersebut, katanya, dilihat mampu membantu pasangan muda membayar deposit pembelian rumah dan secara tidak langsung memberi nafas baharu selepas berdepan musibah.

Terdahulu, insiden letupan dan kebakaran pada 1 April lalu mengakibatkan 81 buah rumah musnah sepenuhnya dengan kerosakan struktur melebihi 40 peratus, 81 lagi rosak sebahagian, 57 kediaman terkesan tanpa terbakar manakala 218 rumah tidak mengalami sebarang kerosakan di kawasan Kampung Tengah, Puchong.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button