BERITA SEMASALUAR NEGARA

Syiling emas wajah Trump diluluskan, cetus kontroversi

WASHINGTON – Sebuah agensi persekutuan Amerika Syarikat mencetuskan kontroversi apabila meluluskan cadangan untuk menghasilkan syiling emas peringatan yang memaparkan potret bekas Presiden, Donald Trump.

United States Commission of Fine Arts yang dianggotai individu dilantik Trump sebulat suara menyokong penghasilan syiling tersebut dalam undian yang dibuat pada Khamis lalu.

Langkah itu mencetuskan perdebatan mengenai kesahihan undang-undang yang cuba dilaksanakan memandangkan undang-undang persekutuan melarang penggambaran presiden yang masih hidup pada mata wang rasmi Amerika Syarikat.

Bagaimanapun terdapat juga laporan yang mendakwa syiling emas berkenaan mungkin tidak melanggar peraturan kerana ia dikeluarkan sebagai barangan peringatan dan bukan untuk edaran sebagai mata wang sah.

Dalam masa sama, pentadbiran Trump turut dikatakan merancang untuk meletakkan wajah beliau pada syiling AS$1, selain pengeluaran syiling emas tersebut.

Cadangan itu bagaimanapun menerima kritikan hebat daripada pelbagai pihak yang menyifatkannya sebagai tidak wajar bagi seorang pemimpin dalam sistem demokrasi.

“Raja dan diktator meletakkan wajah mereka pada syiling, bukan pemimpin negara demokrasi,” kata Jeff Merkley.

Sementara itu, Citizens Coinage Advisory Committee sebelum ini turut menyuarakan bantahan terhadap usaha menghasilkan syiling bertemakan Trump.

Salah seorang ahlinya, Donald Scarinci berkata, kedua-dua panel berkenaan sepatutnya meluluskan reka bentuk syiling, namun menjangkakan penghasilan tetap diteruskan.

Difahamkan, syiling emas itu bakal menampilkan imej helang botak di satu sisi, manakala potret Trump di sisi lain dengan gaya bersandar di atas meja.

Imej tersebut diambil daripada foto hitam putih oleh jurugambar, Daniel Torok yang kini dipamerkan di Galeri Potret Nasional di Washington.

Seorang pembantu Trump yang turut dilantik dalam suruhanjaya seni berkenaan, Chamberlain Harris, menyifatkan potret tersebut sebagai imej yang kuat dan tegas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button