Mesyuarat GBC Thailand–Kemboja diadakan di Kuala Lumpur Selasa ini – Fahmi
PUTRAJAYA – Mesyuarat Jawatankuasa Sempadan Am (General Border Committee – GBC) antara Thailand dan Kemboja akan diadakan di Kuala Lumpur pada Selasa ini, sebagai sebahagian usaha meredakan ketegangan antara kedua-dua negara jiran itu.
Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Datuk Fahmi Fadzil mengesahkan perkara itu dalam sidang media mingguan Kementerian Komunikasi di sini, hari ini.
Menurut Fahmi, pemilihan Kuala Lumpur sebagai lokasi mesyuarat GBC dibuat atas permintaan rasmi daripada kerajaan Thailand susulan rundingan awal antara pemimpin tertinggi kedua-dua negara yang turut diadakan di Malaysia sebelum ini.
“Pihak Thailand telah meminta supaya mesyuarat GBC seterusnya tidak dilangsungkan di Phnom Penh, sebaliknya dipindahkan ke Kuala Lumpur,” katanya.
Tambah beliau, mesyuarat pra-GBC dijadual berlangsung pada Isnin manakala mesyuarat utama GBC akan diadakan keesokan harinya.
Katanya, atase pertahanan dari negara-negara ASEAN serta wakil dari Amerika Syarikat (AS) dan China turut dijemput menghadiri rundingan tersebut sebagai pemerhati dan rakan strategik dalam memastikan kestabilan serantau.
“Antara perkara yang akan dibincangkan ialah penubuhan pasukan pemantau yang diketuai negara ASEAN bagi memastikan kejayaan pelaksanaan gencatan senjata,” ujar beliau.
Jawatankuasa GBC berperanan sebagai platform diplomatik dan ketenteraan untuk menyelesaikan konflik sempadan secara aman termasuk isu-isu pertikaian darat dan keselamatan serantau antara Thailand dan Kemboja.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








