AS iktiraf peranan Malaysia, bukti komitmen diplomasi serantau
KUALA LUMPUR – Pujian Amerika Syarikat (AS) terhadap peranan Malaysia dalam usaha menyelesaikan konflik bersenjata antara Thailand dan Kemboja merupakan satu bentuk pengiktirafan antarabangsa terhadap dasar diplomasi yang diperjuangkan negara sejak merdeka.
Pensyarah Pusat Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Madya Dr. Mohamad Faisol Keling berkata, perkembangan itu membuktikan Malaysia semakin mendapat tempat di persada antarabangsa hasil usaha konsistens kerajaan memartabatkan pendekatan penyelesaian damai melalui rundingan.

“Malaysia sejak dahulu lagi diberi kepercayaan menggalas peranan penting termasuk mengetuai Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC), Pergerakan Negara-Negara Berkecuali (NAM) dan menjadi anggota tidak tetap Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) sebanyak empat kali.
“Peranan sebagai mediator dalam konflik Thailand dan Kemboja ini membuktikan pengaruh Malaysia diiktiraf dan terus dipercayai masyarakat antarabangsa,” katanya kepada Malaysia Tribune hari ini.
![]()
Dr. Mohamad Faisol
Beliau menegaskan, pendekatan Malaysia selaras dengan prinsip ASEAN yang mengutamakan penyelesaian konflik melalui meja rundingan tanpa campur tangan ketenteraan.
“Hubungan dua hala Malaysia yang erat dengan kedua-dua negara terbabit serta pelaburan yang wujud turut menyumbang kepada keberkesanan Malaysia sebagai pengantara yang diyakini,” jelasnya.
Terdahulu, kerajaan Amerika Syarikat menerusi kenyataan rasmi pada 28 Julai memuji kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam usaha membawa kedua-dua negara jiran itu ke meja rundingan yang akhirnya berjaya menghasilkan persetujuan gencatan senjata.
“Kami berterima kasih kepada Perdana Menteri Malaysia, Anwar Ibrahim atas kepimpinannya dan kerana menjadi tuan rumah kepada rundingan gencatan senjata.
“Kami menggesa semua pihak agar mematuhi komitmen masing-masing,” menurut kenyataan Jabatan Negara AS itu.
Kenyataan itu turut menyatakan bahawa AS akan terus komited dan terlibat dalam proses damai yang dianjurkan bersama dengan Malaysia bagi menamatkan konflik tersebut.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








