LUAR NEGARA

Gencatan senjata AS-Iran kini di tahap kritikal

WASHINGTON – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, menyifatkan gencatan senjata antara AS dan Iran yang berlanjutan selama sebulan kini dalam keadaan kritikal.

Bercakap kepada wartawan di Pejabat Oval pada Isnin, Trump berkata, walaupun gencatan senjata itu masih dipatuhi keadaannya tetap rapuh serta berada pada tahap yang membimbangkan.

Kenyataan itu menyusul selepas Iran menghantar tawaran balas kepada Washington pada Ahad, yang menggariskan syarat Tehran bagi mengakhiri konflik dan mengaktifkan semula laluan Selat Hormuz.

Namun Trump dengan segera menolak cadangan tersebut, menyifatkannya sebagai langsung tidak boleh diterima dan ‘sampah’.

Jurucakap Kementerian Luar Iran, Esmail Baghaei, bagaimanapun mempertahankan tawaran negaranya dan menyifatkan cadangan itu sebagai bertanggungjawab dan bermurah hati.

Menurut agensi berita separa rasmi Iran, Tasnim, tawaran Tehran merangkumi penamatan segera konflik di semua medan, merujuk kepada serangan Israel yang berterusan terhadap Hezbollah yang disokong Iran di Lubnan, selain penamatan sekatan laut AS ke atas pelabuhan Iran serta jaminan bahawa tiada serangan lanjut akan dilancarkan terhadap negara itu.

Cadangan tersebut turut dilaporkan merangkumi tuntutan pampasan kerosakan akibat peperangan serta penegasan kedaulatan Iran ke atas Selat Hormuz.

Trump, dalam kenyataan di platform media sosial Truth Social, sekali lagi mengkritik respons Iran dan menegaskan beliau tidak menerima cadangan berkenaan.

Baghaei sebagai reaksi balas memberi amaran bahawa Iran akan bertindak dengan apa jua cara yang perlu untuk melindungi kepentingan negaranya.

Trump kemudiannya mengulangi pendiriannya di Pejabat Oval, dengan mengibaratkan keadaan gencatan senjata itu seperti pesakit yang hanya mempunyai satu peratus peluang untuk terus hidup.

Beliau turut melabel kepimpinan Iran sebagai tidak berprinsip, sambil mendakwa Tehran sering mengubah pendirian dalam rundingan.

Trump juga menuduh Iran menarik diri daripada persetujuan yang membenarkan AS mengeluarkan bekalan uranium diperkaya dari negara itu, sambil menegaskan Iran tidak akan pernah dibenarkan memiliki senjata nuklear.

Bagaimanapun, sumber yang dipetik Tasnim menafikan dakwaan tersebut, menegaskan bahawa cadangan Iran tidak pernah merangkumi sebarang persetujuan untuk membawa keluar bahan nuklear diperkaya.

Dalam perkembangan berkaitan, Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu, menegaskan bahawa simpanan uranium diperkaya Iran perlu disingkirkan sepenuhnya sebelum konflik boleh dianggap berakhir, sambil menyatakan masih terdapat tapak pengayaan yang perlu dimusnahkan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button