BERITA SEMASA

Perang Asia Barat makin memuncak, harga minyak dunia melonjak

WASHINGTON – Konflik yang semakin memuncak di Asia Barat menyaksikan beberapa perkembangan baharu termasuk serangan peluru berpandu, peningkatan kesiapsiagaan ketenteraan serta kesan langsung kepada ekonomi global.

Presiden Mesir, Abdel Fattah al-Sisi berkata, negara itu kini berada dalam keadaan ekonomi hampir darurat susulan tekanan inflasi yang semakin meningkat.

Menurut beliau, tindakan tegas akan diambil terhadap peniaga yang menaikkan harga secara melampau, termasuk kemungkinan dibicarakan di mahkamah tentera.

Dalam masa sama, North Atlantic Treaty Organization (NATO) berkata, pihaknya meningkatkan tahap pertahanan peluru berpandu selepas Iran meningkatkan serangan di rantau Asia Barat, termasuk melancarkan peluru berpandu ke arah Turkiye sebelum berjaya dipintas.

Perikatan yang dianggotai 32 negara itu bersetuju mengekalkan tahap kesiapsiagaan tinggi sehingga ancaman serangan Iran berkurangan.

Sementara itu, ketua tentera Israel, Leftenan Jeneral Eyal Zamir berkata, operasi ketenteraan bersama Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran kini memasuki fasa baharu.

Menurutnya, operasi tersebut bertujuan melemahkan lagi kemampuan ketenteraan republik Islam berkenaan.

“Kami akan terus meruntuhkan keupayaan rejim itu dan tenteranya. Kami juga mempunyai beberapa kejutan yang tidak akan didedahkan buat masa ini,” memetik laporan NST online.

Dalam perkembangan lain, serangan peluru berpandu Iran mencetuskan kebakaran di loji penapisan minyak utama milik kerajaan di Bahrain ketika Tehran meningkatkan serangan di rantau Teluk untuk hari keenam berturut-turut.

Pada masa sama, beberapa kakitangan kedutaan Barat di Riyadh dilaporkan diarahkan berlindung di tempat masing-masing susulan serangan terhadap kompleks kedutaan Amerika Syarikat awal minggu ini.

Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump pula menyatakan sokongan terhadap kemungkinan serangan oleh kumpulan pejuang Kurdish Iran ke dalam Iran bagi menyokong kempen ketenteraan Amerika Syarikat dan Israel.

Dalam perkembangan berkaitan, pihak berkuasa Sri Lanka mengambil alih sebuah kapal tentera laut Iran dan memindahkan 208 anak kapalnya selepas serangan kapal selam Amerika Syarikat ke atas sebuah kapal lain di perairan negara itu.

Trump turut mencetuskan kontroversi apabila menyatakan beliau mahu memainkan peranan dalam pemilihan pemimpin tertinggi Iran yang baharu selepas kematian Ali Khamenei.

Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi memberi amaran bahawa sebarang pencerobohan darat oleh musuh negara itu akan membawa “bencana besar”.

“Kami menunggu mereka dan yakin mampu berdepan sebarang serangan,” katanya lagi.

Di Lebanon pula, kementerian kesihatan memaklumkan jumlah kematian akibat serangan Israel meningkat kepada 102 orang sejak negara itu terheret dalam konflik serantau minggu ini, manakala 638 lagi dilaporkan cedera.

Konflik yang berterusan itu turut memberi kesan kepada pasaran global apabila harga minyak dunia melonjak.

Penanda aras minyak Amerika Syarikat, West Texas Intermediate meningkat lebih lima peratus kepada AS$78.88 (RM311.34) setong, manakala minyak mentah Brent naik kepada AS$84.34 (RM332.89) setong.

Sementara itu, penduduk di Abu Dhabi melaporkan beberapa letupan kuat apabila sistem pertahanan udara negara itu bertindak balas terhadap ancaman peluru berpandu.

Di Iran pula, pihak berkuasa memberi amaran kepada rakyat yang menggunakan rangkaian peribadi maya (VPN) untuk mengakses internet ketika negara itu berdepan gangguan komunikasi besar sehingga sambungan internet dilaporkan merosot kepada sekitar satu peratus daripada tahap biasa.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button