Pencerobohan AS-Israel terhadap Iran sukar dihentikan tanpa kebangkitan dunia – Sachs
PUTRAJAYA – Konflik melibatkan Amerika Syarikat dan Israel terhadap Iran disifatkan sukar dihentikan selagi masyarakat dunia tidak bangkit menentang pencerobohan kedua-dua negara tersebut.
Presiden UN Sustainable Development Solutions Network (SDSN) bagi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Jeffrey D. Sachs berkata, situasi yang berlaku ketika ini bukan sekadar peperangan, sebaliknya lebih tepat digambarkan sebagai satu pencerobohan terhadap Iran.
Menurut beliau, keadaan itu turut berkait dengan sejarah campur tangan Amerika Syarikat dalam politik Iran sejak 1953.
Katanya, pada tahun tersebut kerajaan Iran yang dipimpin Perdana Menteri, Mohammad Mossadegh digulingkan selepas beliau mengambil langkah menegaskan bahawa sumber minyak di negara itu adalah milik Iran.
Bagaimanapun, jelasnya, tindakan tersebut tidak disenangi oleh pihak British dan Amerika Syarikat yang menganggap sumber berkenaan sebagai kepentingan mereka.
“Selepas itu Iran menjadi kerajaan yang dipengaruhi Amerika Syarikat dari 1953 hingga 1979 apabila sebuah rejim yang berkait rapat dengan Washington memerintah di bawah Mohammad Reza Pahlavi.
“Keadaan itu berakhir selepas tercetusnya Revolusi Iran 1979 yang mengembalikan kedaulatan Iran sebagai sebuah negara yang berdaulat,” katanya pada Forum Ilmuan MADANI di sini hari ini.
Hadir sama, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim; Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan.
Dalam masa sama, Sachs berkata, konflik semasa juga melibatkan hubungan rapat antara Amerika Syarikat dan Israel yang disifatkannya sebagai sekutu kuat.
Beliau turut mendakwa hubungan tersebut diperkukuhkan melalui kerjasama antara agensi perisikan kedua-dua negara iaitu Central Intelligence Agency (CIA) dan Mossad.
Pada masa sama, beliau menyifatkan tindakan Israel di Gaza sebagai sesuatu yang amat mengejutkan, selain mengkritik kenyataan seorang jeneral Israel yang menyatakan bandar Beirut akan dijadikan tidak boleh didiami.
“Saya tidak pernah melihat sesuatu yang lebih membunuh dalam tempoh sekarang daripada kelakuan Israel. Apa yang berlaku di Gaza berlaku di depan mata kita,” katanya.
Tambahnya, konflik berkenaan berpotensi mencetuskan krisis ekonomi global yang mendalam sekiranya tidak dihentikan.
Beliau berpandangan krisis tersebut bukan berpunca daripada Iran, sebaliknya akibat tindakan agresif Amerika Syarikat dan Israel.
“Jika dunia mahu menghentikan keadaan ini, masyarakat antarabangsa perlu menyatakan dengan jelas bahawa krisis yang berlaku adalah disebabkan oleh agresi dua negara tersebut, bukan Iran.
“Hanya jika dunia bersuara dan memberikan tekanan, barulah keadaan ini boleh dihentikan,” katanya.
Dalam pada itu, Sachs turut mengkritik sikap negara-negara Eropah yang menurutnya masih berdiam diri walaupun terdapat pasukan tentera Amerika Syarikat di wilayah mereka.
Menurut beliau, negara-negara tersebut perlu berani menyuarakan perkara sebenar sekiranya mahu mengelakkan kesan lebih buruk daripada konflik yang sedang berlaku.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |






















