LUAR NEGARA

OIC kecam serangan peluru berpandu Iran terhadap negara anggota

JEDDAH – Sekretariat Agung Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) mengecam keras tindakan Iran yang didakwa menyasarkan beberapa negara anggota dengan peluru berpandu balistik, menyifatkannya sebagai satu eskalasi yang tidak boleh diterima dan ancaman serius terhadap kestabilan serantau.

Dalam satu kenyataan rasmi, OIC menyatakan kecaman terhadap tindakan yang dianggap mencabuli kedaulatan dan wilayah negara jiran anggota pertubuhan itu, termasuk Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Bahrain, Qatar, Kuwait dan Jordan.

Menurut kenyataan itu, tindakan berkenaan merupakan ancaman kepada keamanan dan keselamatan rantau Asia Barat serta berpotensi membawa implikasi serius terhadap keamanan serantau secara keseluruhan.

Justeru, OIC turut menegaskan solidariti penuh terhadap negara-negara terbabit dalam menghadapi sebarang bentuk pencerobohan yang menjejaskan kedaulatan, keselamatan dan kestabilan mereka.

“OIC menekankan bahawa pelanggaran berterusan terhadap kedaulatan negara anggota serta prinsip undang-undang antarabangsa merupakan satu preseden berbahaya yang menggugat asas hubungan antarabangsa berteraskan semangat kejiranan baik, saling menghormati dan tidak campur tangan dalam hal ehwal dalaman,” menurut kenyataan tersebut.

Dalam masa sama, OIC mengulangi seruan agar semua tindakan yang boleh mencetuskan ketegangan dihentikan segera.

Selain itu, pertubuhan tersebut menggesa semua pihak menahan diri dan kembali ke meja rundingan bagi mengelakkan konflik lebih luas yang boleh mengancam keselamatan dan kestabilan seluruh rantau berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button