JENAYAH & MAHKAMAH

Bekas Pengarah Besar FELDA mengaku tidak bersalah tipu Lembaga Pengarah

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Besar FELDA, Datuk Faizoull Ahmad, 66, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen, di sini hari ini atas pertuduhan memperdaya Lembaga Pengarah FELDA berhubung pemberian kuasa kepada sebuah syarikat untuk menukar hak milik 16 lot tanah milik badan berkanun itu, 12 tahun lalu.

Faizoull membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Suzana Hussin.

“Tidak bersalah dan minta dibicarakan,” katanya yang memakai kemeja kelabu ketika berada di kandang tertuduh, memetik laporan BH Online.

Mengikut pertuduhan, Faizoull yang ketika itu memegang jawatan Pengarah Besar FELDA didakwa memperdaya Lembaga Pengarah FELDA dengan menyembunyikan secara tidak jujur fakta berkaitan surat kuasa wakil (Power of Attorney) bertarikh 3 Jun 2014.

Surat kuasa wakil berkenaan memberikan kuasa kepada Synergy Promenade Sdn Bhd untuk menukar hak milik tanah FELDA yang terbabit dalam projek Cadangan Pembangunan Lot FELDA di Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Perbuatan itu didakwa menyebabkan Lembaga Pengarah FELDA bersetuju dengan surat kuasa wakil berkenaan.

Susulan persetujuan itu, 16 lot tanah milik FELDA kemudiannya ditukar hak milik kepada Synergy Promenade KLVC Sdn Bhd dan Synergy Promenade Sdn Bhd.

Faizoull didakwa melakukan kesalahan tersebut di Bilik Mesyuarat Lembaga, Tingkat 50, Menara FELDA, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC, di sini, pada 2 September 2014.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebat dan denda jika sabit kesalahan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button