BERITA SEMASA

‘Saya tidak terkenal, bukan siapa-siapa hanya anak FELDA’ – Menteri Agama

KUALA LUMPUR – Dr Zulkifli Hasan menjelaskan bahawa beliau tidak pernah menganggap dirinya sebagai individu terkenal, sebaliknya hanya seorang anak FELDA yang melalui perjalanan panjang dalam bidang undang-undang, Syariah, akademik dan kewangan Islam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) itu berkata, latar belakang akademiknya merangkumi ijazah dalam pengajian undang-undang dan Syariah, Ijazah Sarjana serta Ph.D dalam kewangan Islam dari United Kingdom.

Selain itu katanya, beliau turut mengikuti beberapa kursus profesional dalam bidang kewangan Islam dan memperoleh keputusan cemerlang.

“Ada la juga pengalaman sebagai peguam, penasihat undang-undang, pensyarah undang-undang serta Penasihat Syariah kepada institusi perbankan, takaful dan koperasi, selain pernah memberikan khidmat nasihat kepada beberapa organisasi di luar negara.

“Saya ada sedikit pengalaman bekerja di Dubai International Financial Centre (DIFC), Dubai dan Fordham Law School, New York, selain mewakili Malaysia dalam program Young Intellectual Exchange di Jepun serta menerima Biasiswa Fulbright di Amerika Syarikat,” katanya dalam satu hantaran menerusi laman Facebooknya hari ini.

Dalam bidang akademik pula katanya, beliau pernah menjawat jawatan pensyarah, profesor, dekan dan timbalan rektor di universiti.

Selain itu katanya, beliau turut pernah dilantik sebagai Profesor Pelawat di beberapa universiti serta menganggotai lembaga penasihat universiti di luar negara.

Menurutnya, pengalaman dalam bidang kemanusiaan dan kemasyarakatan turut menjadi sebahagian daripada perjalanan hidupnya, termasuk penglibatan dalam kerja kemanusiaan dan aktiviti kemasyarakatan di Malaysia serta luar negara.

Ketika berada di United Kingdom katanya, beliau aktif dalam Palestine Solidarity Campaign, manakala di New York pula terlibat dengan Fordham Islamic Society, MUBANY dan AMAL.

Dalam bidang penulisan pula Zulkifli berkata, beliau telah menerbitkan lebih 30 buku dan bab dalam buku dalam bahasa Inggeris serta Bahasa Melayu, selain menghasilkan ratusan artikel dan makalah.

Pada masa sama katanya, beliau turut pernah menerima anugerah Buku Terbaik MAPIM peringkat kebangsaan bagi kategori Bahasa Inggeris selainebih 25 tahun pengalaman dalam
bidang kewangan Islam.

Beliau berkata, pengetahuan dalam bidang berkenaan turut diperkukuh menerusi kursus profesional yang diikuti dan berjaya dilalui dengan keputusan cemerlang.

Malah katanya, beliau pernah menerima pengiktirafan The Upcoming Scholar di peringkat antarabangsa dalam bidang kewangan Islam ketika masih di peringkat awal kerjayanya.

Dalam perkembangan sama, beliau berkata terdapat satu lagi aspek perjalanan akademik dan keilmuannya yang tidak perlu diceritakan secara panjang lebar, iaitu sanad hadis yang diterima daripada alim ulama muktabar.

Beliau turut menggalakkan mereka yang ingin mengetahui lebih lanjut mengenai latar belakang dan hasil kerja akademiknya supaya merujuk laman sesawang peribadinya yang pernah menerima Anugerah Weblog Akademik Terbaik Ahli Akademik peringkat kebangsaan.

“Terus belajar dan belajar,” katanya.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button