
FELDA mula guna biodiesel sawit, langkah jimat kos bahan api
KUALA LUMPUR – Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) memulakan langkah strategik penjimatan dengan menggunakan biodiesel berasaskan sawit tulen (B100) dalam ekosistemnya bagi mengurangkan beban kos bahan api susulan konflik di Asia Barat.
Pengerusinya, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, inisiatif itu merupakan langkah awal pihaknya membuktikan keupayaan sebenar bahan api berkenaan sebagai alternatif kepada diesel konvensional.
Menurut beliau, tekanan kos bahan api kini semakin meningkat apabila subsidi kerajaan melonjak secara sehingga mencecah kira-kira RM6 bilion sebulan berbanding sekitar RM700 juta sebelum ini.
“Tekanan ini kepada kerajaan amat besar. Jadi kita cuba tampil dengan solusi, bukan menambah beban,” katanya pada sesi taklimat Projek Perintis Pelaksanaan Biodiesel B100 Oleh Felda dan FGV di Menara FELDA hari ini.
Ahmad Shaberry berkata, Malaysia kini menghasilkan kira-kira 20 juta tan minyak sawit mentah setahun yang secara teorinya mampu menampung keperluan diesel domestik.
Bagaimanapun, jelas beliau, kekangan utama ketika ini adalah dari segi kapasiti pemprosesan serta permintaan pasaran yang masih rendah.
“Prinsip kita dalam keadaan krisis ialah membantu mencari penyelesaian. Kita sudah ada sumber, jadi kenapa perlu terus bergantung kepada import (diesel),” katanya.

Beliau berkata, penggunaan biodiesel sawit tulen itu dilihat sebagai alternatif kompetitif berbanding diesel konvensional, khususnya dalam mengurangkan tekanan kos bahan api dan memperkukuh bekalan tenaga negara.
Katanya, B100 yang dihasilkan FELDA merupakan antara bahan api pertama di dunia yang dihasilkan tanpa campuran bahan api fosil, berbeza dengan penggunaan semasa seperti B7, B10 atau B20.
Secara perbandingan kos katanya, harga diesel industri ketika ini dianggarkan sekitar RM7 seliter, manakala B10 sekitar RM6.02 seliter, sementara B100 di peringkat kilang dianggarkan sekitar RM4.50 seliter bergantung kepada harga minyak sawit mentah.
“Dalam situasi krisis global hari ini, kita melihat B100 mampu menjadi jawapan baharu kerana kosnya kini lebih kompetitif berbanding diesel dalam pasaran,” katanya.
Tambah beliau, penggunaan biodiesel secara meluas juga berpotensi memberi kesan langsung kepada pengurangan kos operasi sektor pengangkutan, perikanan dan industri yang bergantung kepada diesel.
Bagaimanapun Ahmad Shabery berkata, potensi penggunaan B100 untuk diperluaskan ke luar FELDA mampu direalisasikan sekiranya dasar berkaitan diperincikan oleh kerajaan dengan mengambil kira kemampuan semasa pengeluaran bahan berkenaan dan untuk keperluan lain.
Beliau juga memaklumkan perkara itu telah disampaikan kepada Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof dan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, namun belum dibincangkan secara terperinci.
Jika perlu katanya, FELDA bersama FGV Holdings Bhd perlu memperluas pembangunan loji pemprosesan biodiesel B100 bagi meningkatkan kapasiti pengeluaran.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif FGV, Roziyatulshima Zamil berkata, sejak tahun 2025, projek rintis penggunaan biodiesel B100 telah dilaksanakan oleh FELDA melibatkan kenderaan penumpang selama 15 bulan dengan jarak perjalanan melebihi 50,000 kilometer.
Katanya, inisiatif itu pada peringkat awal memberi tumpuan kepada pengurangan pelepasan karbon, namun dalam konteks semasa yang menyaksikan kenaikan harga diesel serta ketidaktentuan bekalan global, ia turut dilihat sebagai langkah strategik dalam meneroka alternatif tenaga domestik yang lebih mampan dan berdaya saing.
“Inisiatif ini mampu memperkukuh kedudukan FGV sebagai peneraju industri biofuel di Malaysia dan menyumbang kepada keselamatan tenaga negara dengan mengurangkan kebergantungan kepada bahan api import.
“Ia juga mampu memberi impak positif kepada pekebun kecil sawit dengan menstabilkan harga sawit dan meningkatkan pendapatan serta ekonomi luar bandar,” katanya.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








