BERITA SEMASA

Peruntukan RM100,000 bagi setiap kampung FELDA – PM Anwar

KUALA LUMPUR – Setiap kampung di bawah Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) akan diberi peruntukan sebanyak RM100,000 bagi melaksanakan projek pembangunan yang ditentukan sendiri oleh penduduk setempat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pendekatan memberikan kebebasan kepada penduduk kampung menentukan sendiri projek pilihan mereka itu selaras dengan aspirasi Kerajaan MADANI yang menekankan prinsip musyawarah dan pemerkasaan rakyat.

“Saya sudah sediakan peruntukan, setiap kampung Felda diberikan RM100,000 untuk mereka tentukan projek apa yang mereka nak lakukan.

“Ini bukan pengurusan (FELDA) yang tentukan projek apa nak buat.

“Nak beli apa, traktor? Nak buat kolam ikan? Nak beli dron? Saudara sendiri putuskan apa yang nak beli, saya sediakan RM100,000 bagi setiap kampung,” kata Anwar.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Karnival Mega 3 Dimensi 2025 (MK3D 2025) di Pusat Pameran dan Dagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), di sini hari ini.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi; Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil; Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Ewon Benedick; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Pengerusi FELDA, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button