BERITA SEMASALUAR NEGARA

28 terbunuh dalam serangan lsrael berhampiran hospital di Gaza

BAITULMAQDIS – Sekurang-kurangnya 28 orang dilaporkan terkorban dalam serangan udara Israel yang menyasarkan kawasan berhampiran sebuah hospital di Khan Younis, selatan Semenanjung Gaza, semalam.

Agensi Pertahanan Awam Gaza memaklumkan serangan tersebut berlaku tidak lama selepas Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu mengumumkan pasukan tenteranya akan melancarkan serangan penuh ke atas Gaza dalam tempoh terdekat.

“Kami akan masuk dengan sepenuh kekuatan dalam beberapa hari akan datang bagi menyempurnakan operasi,” kata Netanyahu dalam satu kenyataan yang dikeluarkan, kelmarin.

Menurut beliau, ‘menyempurnakan operasi’ bermakna menumpaskan Hamas sepenuhnya.

“Ini bermakna menghancurkan Hamas, tidak akan ada situasi di mana kita menghentikan peperangan ini.

“Gencatan senjata hanya bersifat sementara, namun operasi akan diteruskan,” tegasnya.

Kenyataan tersebut hadir sehari selepas pembebasan Edan Alexander, seorang tahanan berkewarganegaraan Israel-Amerika Syarikat berusia 21 tahun, yang telah ditahan oleh Hamas sejak serangan besar-besaran pada 7 Oktober 2023.

Sementara itu, Tentera Israel mendakwa serangan yang dilancarkan menyasarkan pusat komando dan kawalan milik Hamas.

Bagaimanapun, kesan serangan turut merosakkan kawasan sekitar Hospital Nasser yang menimbulkan kecaman antarabangsa terhadap taktik peperangan rejim Zionis itu.

Rakaman video oleh agensi berita AFP menunjukkan sebuah kawah besar terbentuk di kawasan luar hospital manakala sebuah bas yang rosak tergantung dalam kawah letupan.

“Semua orang di dalam hospital termasuk pesakit yang cedera berlari dalam keadaan panik, ada yang bertongkat ada yang menjerit mencari anak mereka dan ada juga yang terpaksa diseret di atas katil,” kata jurufoto tempatan, Amro Tabash kepada AFP.

Kementerian Kesihatan Gaza memaklumkan serangan tersebut turut meragut nyawa dua individu termasuk wartawan tempatan, Hassan Aslih.

Tentera Israel sebelum ini menuduh Hassan terlibat dalam serangan Hamas pada Oktober tahun lalu, namun tiada bukti kukuh dikemukakan bagi menyokong dakwaan tersebut.

Serangan terbaru ini terus memburukkan lagi krisis kemanusiaan di Gaza yang kini berdepan situasi genting akibat serangan tanpa henti dan kekurangan bekalan asas.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button