Wartawan ABC menang kes dipecat, mahkamah putuskan majikan tidak adil
SYDNEY – Wartawan terkenal Australia, Antoinette Lattouf, menang kes melawan majikannya, Australian Broadcasting Corporation (ABC), selepas hakim memutuskan beliau telah diberhentikan secara tidak adil berhubung satu hantaran media sosial berkaitan perang di Gaza.
Hakim Mahkamah Persekutuan, Darryl Rangiah, semalam memutuskan bahawa syarikat penyiar nasional negara itu telah menamatkan tugas Lattouf atas pandangannya terhadap kempen ketenteraan Israel di Gaza.
Bagaimanapun, dakwaan Lattouf bahawa beliau dipecat kerana latar belakang asal usul (Lubnan) ditolak oleh mahkamah, lapor BBC.
Lattouf sebelum ini mendakwa, kontraknya sebagai penyampai radio sementara pada Disember 2023 telah ditamatkan secara tiba-tiba susulan tekanan daripada kumpulan pro-Israel serta disebabkan pandangan politiknya yang menyentuh isu sensitif berhubung konflik Israel-Palestin.
Beberapa jam sebelum pemecatan, Lattouf memuat naik satu hantaran daripada pertubuhan hak asasi antarabangsa, Human Rights Watch (HRW), yang mendakwa Israel melakukan jenayah perang di Gaza yang dinafikan keras oleh Tel Aviv.
Pihak ABC dalam hujahnya di mahkamah menyatakan bahawa tindakan Lattouf itu telah melanggar dasar editorial penyiar itu.
Namun selepas keputusan diumumkan, ABC tampil memohon maaf secara terbuka kepada Lattouf dan mengakui bahawa pihaknya telah ‘mengecewakan kakitangan serta khalayak’ dalam menangani isu berkenaan.
Sebagai ganti rugi, Lattouf telah dianugerahkan pampasan sebanyak A$70,000 (kira-kira RM218,000), dan mahkamah akan mendengar hujahan lanjut berkaitan kemungkinan bayaran denda tambahan.
Ketika ditemui di luar mahkamah, Lattouf menyatakan bahawa beliau telah dihukum hanya kerana pandangan politik yang dikongsikan secara peribadi.
Pemecatannya sebelum ini mencetuskan gelombang kemarahan awam serta menimbulkan kekacauan dalaman dalam ABC, sekali gus menimbulkan persoalan tentang tahap kebebasan editorial penyiar tersebut dan cara ia menangani isu melibatkan kakitangan berlatarbelakang budaya pelbagai.
Lattouf merupakan penyumbang tetap dalam media Australia dan juga terkenal sebagai aktivis dalam isu perkauman, diskriminasi media serta kesihatan mental.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








