PUSAT Penyelidikan & Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) menyambut baik Pendapat Penasihat Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) berhubung tanggungjawab Israel terhadap Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) di Palestin sebagaimana diminta oleh Perhimpunan Agung PBB pada Disember 2024.
ICJ semalam menegaskan, Israel terikat dengan kewajipan undang-undang antarabangsa termasuk memastikan rakyat Palestin menerima keperluan asas kehidupan seperti makanan, air dan ubat-ubatan, serta tidak menggunakan kebuluran sebagai kaedah peperangan.
ICJ turut menegaskan Israel tidak boleh menghalang bantuan kemanusiaan, perlu menghormati keistimewaan, kekebalan serta keselamatan kakitangan dan premis PBB termasuk Agensi Bantuan dan Kerja Pertubuhan Bangsa Bersatu bagi Pelarian Palestin (UNRWA).
Ia termasuk melindungi kakitangan kemanusiaan serta perubatan daripada serangan, dan menghormati hak asasi rakyat Palestin termasuk larangan terhadap pemindahan paksa penduduk dan hak tahanan.
Selain itu, Israel turut diingatkan supaya bekerjasama dengan PBB dengan niat baik serta menunaikan tanggungjawab di bawah Piagam PBB dan undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
ICJ turut menegaskan semua negara anggota mempunyai kewajipan untuk tidak mengiktiraf atau membantu sebarang situasi yang terhasil daripada pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel.
CABARAN SEBENAR
CENTHRA berpandangan, walaupun pendapat tersebut tidak mengikat secara formal, ia membawa kuasa moral dan normatif yang besar serta menetapkan penanda aras terhadap tingkah laku negara dalam isu Palestin.
Cabaran sebenar kini ialah memastikan pendapat tersebut dihormati, dipatuhi dan dilaksanakan, khususnya dalam keadaan berterusan pelanggaran berat undang-undang antarabangsa oleh Israel, bukan sahaja terhadap rakyat Palestin, tetapi juga terhadap masyarakat dunia.
CENTHRA turut menegaskan kebimbangan terhadap insiden penahanan dan rampasan Global Sumud Flotilla pada 1 hingga 2 Oktober lalu, apabila tentera laut Israel memintas kapal awam di perairan antarabangsa kira-kira 70 batu nautika dari pantai Gaza.
Tindakan itu menyalahi Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut (UNCLOS) kerana melanggar kebebasan pelayaran dan larangan pemintasan kapal awam tanpa kebenaran di perairan antarabangsa.
Lebih serius lagi apabila tindakan tersebut melanggar prinsip asas Konvensyen Geneva Keempat serta Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa yang melarang penggunaan kebuluran sebagai senjata perang dan menjamin hak terhadap penyampaian bantuan kemanusiaan tanpa halangan.
CENTHRA menegaskan, penahanan, layanan buruk dan perampasan kapal bantuan kemanusiaan itu adalah penghinaan terbuka terhadap undang-undang kemanusiaan antarabangsa.
Sehubungan itu, CENTHRA menyeru Kerajaan Malaysia serta semua negara sealiran supaya menyokong secara rasmi pendapat ICJ di peringkat kebangsaan dan antarabangsa serta menggesa agar ia dijadikan rujukan bagi semua dasar dan tindakan terhadap Israel.
CENTRHA turut menggesa supaya satu mekanisme pemantauan di bawah PBB ditubuhkan bagi memastikan pelaksanaan kewajipan seperti akses bantuan kemanusiaan, perlindungan kakitangan UNRWA serta penghormatan terhadap hak rakyat Palestin.
Selain itu, CENTHRA turut menuntut pertanggungjawaban antarabangsa terhadap mana-mana negara atau entiti yang membantu pelanggaran undang-undang oleh Israel.
CENTHRA juga mendesak pembebasan segera semua aktivis dan sukarelawan ditahan dalam insiden Global Sumud Flotilla, serta menuntut Israel menghentikan sekatan ke atas Gaza dan membuka akses kemanusiaan sepenuhnya.
CENTHRA turut menyeru tindakan undang-undang dan diplomatik di peringkat serantau serta antarabangsa digerakkan bagi memastikan pelaksanaan keadilan, selain menilai semula sebarang hubungan diplomatik, ketenteraan atau perdagangan dengan negara yang bersekongkol dengan pelanggaran undang-undang antarabangsa oleh Israel.
Pendapat Penasihat ICJ ini menandakan satu titik penting dalam perjuangan menegakkan keadilan sejagat dan prinsip kedaulatan undang-undang antarabangsa. Namun, kata-kata mesti diterjemah kepada tindakan.
Dunia sedang memerhati. Palestin dan kemanusiaan menuntut keberanian moral serta keadilan tanpa dwistandard.
Pusat Penyelidikan & Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA)
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








