Anggota tentera Israel terbunuh dalam serangan dron Hizbullah
TEL AVIV – Tentera Israel mengesahkan seorang anggotanya terbunuh manakala seorang lagi cedera parah selepas dron peledak Hizbullah menyerang pasukan tentera haram itu berhampiran bandar Dibil di selatan Lubnan.
Menurut laporan tentera Israel dan media tempatan, serangan itu berlaku ketika pasukan kejuruteraan Israel menjalankan operasi kira-kira lima kilometer dari sempadan utara negara itu.
Dron Hizbullah dilaporkan mengenai sebuah kenderaan pengangkut perisai jenis Namera yang digunakan pasukan terbabit.
Media Israel mengenal pasti anggota tentera yang maut sebagai Sarjan Nahorai Laizer, manakala seorang lagi anggota mengalami kecederaan serpihan bom yang serius.
Penyiar awam Israel, Kan, melaporkan pihak tentera sedang menyiasat sama ada dron tersebut berjaya menembusi kenderaan sebelum meletup.
Kejadian yang berlaku kira-kira pukul 3.30 petang waktu tempatan itu menambah tekanan yang dihadapi tentera Israel di selatan Lubnan sejak gencatan senjata diumumkan bulan lalu.
Laporan media Israel turut menyifatkan situasi semasa sebagai antara tempoh paling sukar dihadapi tentera negara itu di selatan Lubnan sejak perjanjian gencatan senjata dimeterai.
Menurut penilaian tentera Israel yang dipetik Channel 11, penggunaan dron oleh Hizbullah kini mengehadkan hampir 70 peratus kebebasan operasi tenteranya di selatan Lubnan.
Akibat ancaman berterusan itu, tentera Israel dilaporkan semakin banyak menjalankan pergerakan pada waktu malam selepas serangan dron berulang menjejaskan kemampuan mereka bergerak pada waktu siang.
Sumber turut mendakwa Hizbullah kini menggunakan strategi serangan udara berturut-turut menerusi dron Ababil berpandukan haba yang membawa muatan bahan letupan lebih besar.
Media Israel menyifatkan ancaman dron Hizbullah sebagai mimpi ngeri baharu buat tenteranya, malah perubahan corak pergerakan pasukan di medan perang juga dikatakan gagal mengurangkan risiko serangan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |

















