Israel lulus 19 penempatan baharu di Tebing Barat
BAITULMAQDIS – Israel meluluskan pembinaan 19 penempatan baharu di Tebing Barat yang diduduki, sekali gus mencetuskan kebimbangan komuniti antarabangsa terhadap usaha menghalang penubuhan sebuah negara Palestin.
Menteri Kewangan Israel, Bezalel Smotrich berkata, keputusan itu dipersetujui Kabinet Keselamatan dan menjadikan keseluruhan 69 penempatan diluluskan dalam tempoh tiga tahun kebelakangan ini.
Kelulusan terbaharu berkenaan dibuat ketika Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) melaporkan peluasan penempatan Israel di Tebing Barat mencapai tahap tertinggi sejak sekurang-kurangnya 2017, meskipun semua penempatan itu dianggap haram di bawah undang-undang antarabangsa.
Smotrich berkata, langkah tersebut adalah sebahagian usaha berterusan Israel di wilayah yang diduduki itu.
“Di lapangan, kami menghalang penubuhan sebuah negara Palestin dan akan terus membangunkan serta mendiami tanah yang kami anggap sebagai warisan,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Sementara itu, Setiausaha Agung PBB, Antonio Guterres mengecam peluasan penempatan Israel yang disifatkan sebagai berterusan tanpa henti, sambil memberi amaran tindakan itu mencetuskan ketegangan, menafikan akses rakyat Palestin ke tanah mereka dan menjejaskan prospek penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka, demokratik dan berdaulat.
Menurut laporan PBB, purata 12,815 unit perumahan penempatan dibina setiap tahun antara 2017 hingga 2022, menunjukkan peningkatan ketara berbanding tahun-tahun sebelumnya.
Tidak termasuk Baitulmaqdis Timur yang diduduki Israel sejak 1967, lebih 500,000 warga Israel kini menetap di Tebing Barat bersama kira-kira tiga juta penduduk Palestin.
Pejabat Smotrich memaklumkan, 19 penempatan baharu itu terletak di kawasan strategik, termasuk dua penempatan di utara Tebing Barat, Ganim dan Kadim, yang akan dibangunkan semula selepas dirobohkan kira-kira dua dekad lalu.
Sekurang-kurangnya lima daripada penempatan yang diluluskan itu dilaporkan sudah wujud, namun sebelum ini belum diberikan status sah di bawah undang-undang Israel, sekali gus terus mencetuskan kebimbangan antarabangsa terhadap kemungkinan pengilhakan wilayah Palestin.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








