Konflik Israel-Hizbullah: Gencatan senjata dilanjut 45 hari
BEIRUT – Rundingan pusingan ketiga antara Lubnan dan Israel di Washington berjaya mencapai persetujuan melanjutkan gencatan senjata konflik Israel-Hizbullah selama 45 hari lagi, sekali gus membuka ruang ke arah kestabilan jangka panjang di rantau itu.
Menurut laporan AFP, delegasi perunding Lubnan menyifatkan lanjutan gencatan senjata serta pembentukan laluan keselamatan yang diselaraskan Amerika Syarikat (AS) sebagai langkah penting dalam usaha memulihkan keamanan.
“Delegasi Lubnan mengalu-alukan hasil rundingan hari ini.
“Lanjutan gencatan senjata dan pembentukan laluan keselamatan yang diselaraskan AS memberikan ruang penting kepada rakyat kami, memperkukuh institusi negara serta memajukan laluan politik ke arah kestabilan berkekalan,” menurut kenyataan dikongsi Presiden Lubnan, Joseph Aoun.
Menurut kenyataan itu, Beirut berharap momentum semasa dapat diterjemahkan kepada perjanjian menyeluruh yang mampu melindungi maruah, keselamatan dan masa depan rakyat Lubnan.
Jurucakap Jabatan Negara AS, Tommy Pigott berkata, Washington dijadual menganjurkan rundingan bagi mencapai perjanjian politik kekal pada 2 dan 3 Jun depan.
Katanya, Pentagon turut akan mengatur pertemuan delegasi ketenteraan kedua-dua negara pada 29 Mei ini sebagai sebahagian usaha memperkukuh proses damai.
Delegasi Lubnan memaklumkan, permulaan laluan politik rasmi itu mencerminkan komitmen positif Beirut dalam mencari penyelesaian damai yang berkekalan.
Menurut delegasi berkenaan, Lubnan kini memberi tumpuan kepada usaha memulihkan sepenuhnya kuasa kerajaan di seluruh negara bagi melindungi sempadan, mempertahankan kedaulatan serta menjamin keselamatan rakyat.
Mereka turut menyatakan bahawa gencatan senjata berkenaan boleh dilanjutkan lagi sekiranya rundingan menunjukkan perkembangan positif.
Selain itu, delegasi terbabit menegaskan matlamat utama mereka termasuk memastikan kepulangan penduduk yang dipindahkan, mempercepat usaha pembinaan semula di selatan Lubnan serta membebaskan tahanan warga Lubnan di Israel.
Menurut pihak berkuasa Lubnan, serangan Israel sejak konflik tercetus telah mengorbankan lebih 2,900 orang di negara itu, termasuk lebih 400 mangsa sejak gencatan senjata mula berkuat kuasa pada 17 April lalu.
Dalam perkembangan sama, Hizbullah terus melancarkan serangan terhadap sasaran Israel di Lubnan dan utara Israel dengan mendakwa tindakan itu sebagai tindak balas terhadap pelanggaran gencatan senjata oleh Israel.
Delegasi Lubnan turut menegaskan negara itu mahukan pelaksanaan perjanjian secara berperingkat dan boleh disahkan dengan sokongan AS bagi memastikan setiap komitmen dipenuhi tanpa menjejaskan kedaulatan negara.
“Lubnan sedang berunding demi masa depan yang menyaksikan sempadannya dihormati dan kedaulatannya dipertahankan sepenuhnya oleh tenteranya,” menurut delegasi itu.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








