Serangan peluru berpandu Iran ragut nyawa di Tel Aviv
BAITULMAQDIS – Serangan peluru berpandu yang dilancarkan Iran ke arah Israel semalam mengorbankan sekurang-kurangnya seorang lelaki dalam insiden terbaharu yang terus menambah ketegangan di rantau itu.
Mangsa, lelaki berusia 52 tahun, disahkan maut di Tel Aviv, menurut perkhidmatan kecemasan Magen David Adom (MDA).
Dalam kejadian sama, dua lagi lelaki masing-masing berusia 65 dan 50 tahun dilaporkan cedera dan dikejarkan ke hospital, manakala dua mangsa lain berusia 37 dan 21 tahun turut cedera akibat terkena serpihan di bandar Kuseife di selatan Israel.
Keadaan di lokasi kejadian di Tel Aviv dilaporkan sesak dengan kehadiran pasukan kecemasan, sementara beberapa jalan utama ditutup susulan impak serangan tersebut.
Rakaman yang dikongsi saksi kepada agensi berita antarabangsa menunjukkan detik peluru berpandu menghentam bandar berkenaan, ketika tentera Israel memaklumkan mereka bergegas ke lokasi yang terjejas di kawasan tengah negara itu.
Wartawan AFP turut melaporkan bunyi letupan kedengaran dari Jericho di Tebing Barat, selain siren amaran yang diaktifkan di Baitulmaqdis.
Menurut Israel Defense Forces (IDF), sistem pertahanan negara sedang beroperasi untuk memintas ancaman peluru berpandu yang dikesan dilancarkan dari Iran.
“Pasukan mencari dan menyelamat kini digerakkan ke beberapa lokasi di tengah Israel susulan laporan impak,” menurut kenyataan yang dimuat naik di saluran rasmi Telegram tentera itu.
Sementara itu, Menteri Luar Iran, Abbas Araghchi berkata, Tehran akan memastikan Israel membayar ‘harga yang berat’ susulan serangan terhadap dua kilang keluli utama dan sebuah tapak nuklear di Iran sebelum ini.
Sejak tercetusnya konflik, pihak berkuasa Israel melaporkan sekurang-kurangnya 18 orang awam terbunuh, termasuk kanak-kanak serta warga asing, akibat siri serangan yang berterusan.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








