LUAR NEGARA

89 kanak-kanak Israel dikesan bersekolah secara haram di Thailand

BANGKOK – Seramai 89 kanak-kanak warga Israel dikesan mengikuti pembelajaran di sebuah sekolah yang beroperasi secara haram di Koh Phangan, Thailand dalam satu serbuan pihak berkuasa tempatan baru-baru ini.

Menurut laporan media tempatan, serbuan dilakukan sekitar jam 12.30 tengah hari di Sekolah Kanak-Kanak Arki yang terletak di Kampung Moo 3 di pulau peranginan popular itu.

Komando Operasi Keselamatan Dalam Negeri memaklumkan, premis berkenaan hanya dilesenkan sebagai pusat penjagaan kanak-kanak bagi 18 kanak-kanak berusia antara dua hingga lima tahun.

Bagaimanapun, hasil pemeriksaan mendapati seramai 89 kanak-kanak Israel berusia antara dua hingga 12 tahun berada di situ.

Dalam operasi sama, pihak berkuasa turut menemui kira-kira 40 pekerja dari Myanmar serta 12 pekerja warga asing lain yang dipercayai bekerja tanpa permit sah.

Tiga individu termasuk pasangan warga Iran dan seorang wanita tempatan Thailand ditahan bagi membantu siasatan.

Mereka disyaki mengendalikan institusi pendidikan swasta tidak formal tanpa kelulusan, menggaji warga asing tanpa permit kerja serta melanggar peraturan perlindungan kanak-kanak.

Siasatan awal turut mendapati sekolah itu mengenakan yuran pengajian sekitar 64,000 baht (kira-kira RM7,800) bagi setiap semester, namun status pengiktirafan kurikulumnya masih tidak jelas.

Menurut pihak berkuasa, tindakan tegas diambil susulan aduan berkaitan penglibatan warga asing dalam aktiviti perniagaan yang berpotensi menjejaskan keselamatan negara.

Koh Phangan sebelum ini dilaporkan menjadi antara destinasi utama komuniti Israel, dengan kira-kira 2,500 warga negara itu menetap di pulau berkenaan.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button