Wanita PKR kecam serangan Israel ke atas Syria, desak dunia bertindak
KUALA LUMPUR — Wanita Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengecam sekeras-kerasnya tindakan rejim Israel yang melancarkan serangan udara di Syria, awal pagi tadi.
Ketuanya, Fadhlina Sidek menggesa masyarakat antarabangsa bersatu mendesak keadilan serta menghentikan pencabulan terhadap kedaulatan negara berkenaan.
Fadhlina yang juga Menteri Pendidikan menegaskan, segala bentuk keganasan dan pencabulan undang-undang antarabangsa mesti dihentikan segera demi menjunjung prinsip kemanusiaan dan kestabilan serantau.
“Tindakan rejim Zionis itu jelas bertentangan dengan undang-undang antarabangsa serta melanggar Perjanjian Pemisahan 1974 antara Israel dan Syria.
“Wanita PKR mengutuk serangan udara terbaru rejim Israel ke atas Damsyik yang telah meragut nyawa orang awam serta mencabuli kedaulatan Syria secara terang-terangan.
“Kami menyeru kepada komitmen semula terhadap prinsip kemanusiaan dan kedaulatan negara,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Awal pagi tadi, rejim Israel melancarkan serangan udara besar-besaran ke atas ibu kota Syria, Damsyik yang turut memusnahkan sebahagian bangunan Kementerian Pertahanan serta kawasan berhampiran Istana Presiden.
Serangan itu dilancarkan susulan tindakan tentera kerajaan Syria terhadap komuniti Druze di selatan negara itu.
Meskipun hubungan Syria dengan Amerika Syarikat (AS) dilihat semakin rapat, serangan oleh rejim Israel semakin agresif terutamanya ketika negara itu ditadbir sementara oleh Presiden Ahmed al-Sharaa.
Baca juga: Malaysia kecam serangan rejim Zionis di Damsyik
Baca juga: Tiga terbunuh, 34 cedera dalam serangan Israel ke atas Syria
Kementerian Kesihatan Syria melaporkan puluhan mayat termasuk orang awam ditemui di sebuah hospital di Damsyik, manakala Rangkaian Hak Asasi Manusia Syria menyatakan seramai 169 orang terbunuh dalam keganasan minggu ini.
Sumber keselamatan pula meletakkan angka korban mencecah 300 orang.
Tegas Fadhlina lagi, masyarakat dunia perlu memainkan peranan dalam menghentikan konflik yang telah berlarutan lebih sedekad itu.
“Serangan demi serangan hanya menambah luka dan penderitaan yang mendalam kepada rakyat yang tidak bersalah.
“Keganasan juga bukan jalan penyelesaian. Dunia harus bersatu menuntut keadilan dan keamanan buat Syria,” katanya lagi.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |








