BERITA SEMASA

Hamas terima sebahagian pelan Trump, tetap berbeza pandangan soal masa depan Gaza

WASHINGTON – Hamas menyatakan kesediaan menerima sebahagian besar cadangan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump berhubung masa depan Gaza.

Dalam kenyataannya, Hamas mengesahkan mereka bersetuju dengan formula pertukaran tebusan seperti digariskan Trump yang membabitkan pembebasan rakyat Israel sama ada masih hidup atau telah meninggal dunia.

Sebagai balasan, Israel perlu membebaskan ribuan tahanan Palestin termasuk wanita dan kanak-kanak.

“Kami bersedia melaksanakan pertukaran ini mengikut keadaan semasa di lapangan, dan sedia berbincang segera melalui perantara antarabangsa,” memetik laporan The Straits Times onlne.

Trump sebelum ini menetapkan tempoh 72 jam selepas Israel menerima perjanjian untuk semua tebusan Israel dibebaskan.

Hamas turut menerima cadangan gencatan senjata serta pengunduran penuh tentera Israel dari Gaza. Dalam masa sama, mereka menolak sebarang bentuk pendudukan Israel.

Berhubung isu bantuan, Hamas menyambut baik rancangan kemasukan segera bantuan kemanusiaan, makanan, ubat-ubatan serta kelengkapan membaik pulih infrastruktur melalui badan antarabangsa.

Hamas berkata, tiada rakyat Palestin boleh diusir dari Gaza.

Walaupun ada persetujuan pada beberapa aspek, Hamas tetap berbeza pandangan dengan Trump dalam soal pentadbiran Gaza.

Trump mencadangkan Gaza ditadbir oleh jawatankuasa teknokrat Palestin yang diawasi badan peralihan antarabangsa dipimpin beliau sendiri bersama tokoh lain termasuk bekas Perdana Menteri Britain, Tony Blair.

Namun, Hamas menegaskan pentadbiran itu mesti dipimpin oleh badan teknokrat Palestin berasaskan konsensus nasional dan disokong negara Arab serta Islam, bukan di bawah kawalan kuasa asing.

Trump turut menegaskan Hamas tidak boleh terbabit dalam pentadbiran Gaza dan wilayah itu perlu dilucutkan senjata.

Sebaliknya, Hamas menegaskan mereka kekal sebahagian daripada kerangka perjuangan nasional Palestin dan menolak sebarang syarat pelucutan senjata.

“Perkara ini perlu diputuskan dalam kerangka nasional Palestin secara menyeluruh, dengan Hamas turut serta dan memikul tanggungjawab penuh,” katanya lagi.

Hamas juga tidak memberi sebarang reaksi terhadap cadangan Trump yang menawarkan pengampunan dan laluan selamat ke negara lain bagi anggota Hamas yang sanggup menyerahkan senjata.

Pemerhati antarabangsa berpendapat, walaupun wujud ruang rundingan, perbezaan pendirian ini bakal menjadi cabaran besar kepada sebarang usaha damai di Gaza.

SERTAI KAMI DI MEDIA SOSIAL UNTUK MENDAPATKAN LEBIH INFORMASI DAN VIDEO MENARIK
Platform Pautan
Facebook Malaysia Tribune
X @malaysiatribune
Instagram @malaysiatribune
Threads @malaysia.tribune
Youtube Malaysia Tribune
TikTok Malaysia Tribune
Whatsapp Channel Malaysia Tribune
Telegram Malaysia Tribune
Show More
Back to top button