MERCY Malaysia sedia hantar pasukan perubatan ke Gaza dalam masa terdekat
IPOH – MERCY Malaysia sedia menghantar Pasukan Rawatan Khas Keenam dan Ketujuh ke Gaza dalam masa terdekat bagi meneruskan misi kemanusiaan meskipun berdepan cabaran teknikal serta isu keselamatan.
Menurut Presidennya, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus, pasukan itu dijangka berlepas dari Malaysia sebaik saja semua syarat dipenuhi, dengan bilangan anggota bergantung kepada situasi semasa di wilayah bergolak berkenaan, lapor BERNAMA.
“Jika gencatan senjata masih kekal seperti sebelum ini, kita boleh hantar pasukan lebih besar antara enam hingga lapan anggota.
“Namun, jika keadaan masih berterusan (pengepungan Israel) pasukan itu akan dihadkan kepada empat hingga lima orang saja yang juga pakar perubatan bagi membantu rakyat di sana,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Peralatan Perubatan daripada MERCY Malaysia kepada Neurosurgical Critical Care Unit (NCCU) Hospita Raja Permaisuri Bainun, di sini, hari ini.
Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim berangkat menyempurnakan majlis itu.
Hadir sama, Pengarah Kesihatan Perak, Dr Feisul Idzwan Mustapha.
Ahmad Faizal berkata, operasi kemanusiaan MERCY Malaysia di Gaza tidak pernah terhenti, malah turut membabitkan rakyat tempatan di wilayah berkenaan yang membantu pihaknya menyampaikan bantuan dalam pelbagai bentuk.
“Untuk kerja misi bantuan secara berterusan, kita ada tenaga kerja dalam kalangan rakyat tempatan. Di Gaza misalnya, kita laksanakan program pertanian kecil-kecilan ditunjangi mereka untuk membantu sedikit sebanyak dari sudut bekalan makanan,” katanya lagi.
Beliau menambah, pihaknya turut bekerjasama dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain yang mempunyai keupayaan menghantar bantuan ke kawasan tidak dapat dimasuki.
Walaupun MERCY Malaysia tidak terlibat dalam misi Global Sumud Flotilla, pihaknya tetap menyokong usaha murni digerakkan lebih 1,000 sukarelawan dari Eropah, Asia, Afrika Selatan, Amerika Latin dan Asia Barat itu.
“Situasi di Gaza kini dilaporkan semakin buruk selepas serangan terbaru tentera Israel, sekali gus menjadikan usaha penghantaran bantuan kemanusiaan sebagai satu keutamaan mendesak,” katanya.
Pada 5 Mei lalu, Pasukan Rawatan Khas Kelima MERCY Malaysia selamat pulang ke tanah air selepas melaksanakan misi bantuan dari 27 Mac hingga 26 April, dengan kerjasama Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) di bawah koordinasi Emergency Medical Teams.
| Platform | Pautan |
|---|---|
| Malaysia Tribune | |
| X | @malaysiatribune |
| @malaysiatribune | |
| Threads | @malaysia.tribune |
| Youtube | Malaysia Tribune |
| TikTok | Malaysia Tribune |
| Whatsapp Channel | Malaysia Tribune |
| Telegram | Malaysia Tribune |







